DHPP Terengganu Hargai Keterbukaan Kerajaan PAS Kelantan

1186
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita9/Jefry%20chua.jpg

Timbalan pengerusinya, Jefri Chua (Gambar) berkata kenyataan terbuka Exco kerajaan negeri, Dato’ Dr Fadzli Hassan yang menyatakan kesediaan kerajaan negeri Kelantan untuk membincangkan isu tersebut dialu-alukan.

Menurutnya, kenyataan kerajaan PAS Kelantan bersedia menimbangkan cadangan bagi membincangkan isu salon rambut serta mencari jalan terbaik menyelesaikan isu tersebut mengikut konsep hak kebebasan anutan orang bukan Islam adalah wajar.

“Kami (orang bukan Islam) melihat kesediaan kerajaan PAS Kelantan untuk bincang dan selesaikan isu salon rambut yang melibatkan premis orang bukan Islam amat dialu-alukan.

“Pihak DHPP Terengganu, menyambut baik dan menghargai langkah itu kerana melibatkan kepentingan hak orang bukan Islam di negeri Kelantan dan di Malaysia ini,” ujarnya kepada Harakah, hari ini.

Katanya, jalan terbaik menyelesaikan isu berbangkit di meja perbincangan dan bukan di dada akhbar yang akan dipolemikkan oleh pihak tertentu.

Kontroversi timbul apabila seorang pengusaha kedai gunting rambut di Kota Bharu, Ong Lee Ting, mendakwa beliau disaman 11 kali oleh pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam sejak 2010.

Sehubungan itu, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Hu Pang Chaw turut meminta kerajaan Kelantan menghentikan penguatkuasaan semua undang-undang tersebut sehingga kajian terperinci dilaksanakan.

Beliau dipetik sebagai berkata undang-undang kecil yang digubal khususnya Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) membabitkan bukan Islam juga perlu dikaji semula kerana “tidak sesuai dengan keadaan semasa”.