Dari Masjid Rusila, Kuliah 8 Rejab 1437

3738

Dari Meja Rusila | Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Beriman Kepada Hari Akhirat | Tanda-tanda Husnul Khatimah.

1. Orang yang mati mempertahankan hartanya, maka ia mati syahid. Dan jika dia (yang mempertahankan harta) membunuh orang yang merampas hartanya tadi kemudian si perampas itu mati dan masuk neraka atas sebab merampas harta. Dan jika dia (yang mempertahankan harta) itu mati kerana mempertahankan hartanya, maka dia mati syahid.

2. Mati kerana mempertahankan agama dan nyawa. Dikira syahid akhirat.

3. Seterusnya mati bertugas dalam perjuangan Islam. Kerana kelebihan menjalankan tugas-tugas dalam perjuangan Islam. Diberi kelebihan, amalannya berpanjangan sehingga ke hari kiamat dan dibebaskan daripada fitnah kubur. Setiap orang yang mati, maka tamatlah amalannya, tetapi orang yang mati ketika bertugas dalam perjuangan Islam, amalan mereka berterusan kerana dia meninggalkan anak isteri, meninggalkan mencari harta, dan semata-mata mahu melihat Islam tertegak.

4. Orang yang mati ketika beramal soleh seperti ketika berpuasa dan mendirikan solat.

Fiqh Harakah | Penyertaan Rasulullah Ketika Membina Kaabah.

1. Kaabah ialah bangunan pertama yang didirikan untuk dijadikan syiar ibadat kepada Allah, bukannya batu untuk disembah.

2. Ibrahim menghadapi Namrud yang zalim lagi mensyirik kan Allah. Termasuk mensyirikan Allah ialah bapanya sendiri. Ibrahim di uji dengan api. Dilontar dengan manjenik. Kalau ikut adat, dengan lontaran itu sahaja, Ibrahim telah mati, tetapi Ibrahim masih hidup.

Namrud dan bapanya mengambil keputusan menghalau Ibrahim. Ibrahim berhijrah bersama isteri dan pengikutnya yang beriman. Isterinya melahirkan Ishak dan Ismail. Daripada Ismail ini lah lahirnya nabi akhir zaman. Kemudian Allah memerintah Ibrahim supaya membina Kaabah.

3. Kaabah tetap dipelihara oleh orang-orang selepas daripada nabi Ibrahim. Kerana mereka memuliakan Ibrahim. Yahudi, Nasrani, Hindu dan lain-lain memuliakan Ibrahim. Sehingga Allah menurunkan ayat ;

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

Oleh kerana Ibrahim membina Kaabah, maka orang Musyrikin bergotong royong untuk mendirikan Kaabah yang mengalami kerosakan kerana banjir. Nabi Muhamad ketika ini berusia 35 tahun. Dan Rasulullah menyertainya dan mendapat berkat daripadanya.

4. Sampai masa untuk meletakkan Hajar Aswad, berlaku perebutan dan hampir berperang sesama mereka. Hajar Aswad datang daripada Syurga. Ibrahim diperintah untuk meletakkannya. Lalu mereka bermesyuarat dan melantik orang yang pertama masuk masjid sebagai hakim. Maka atas hikmah Allah, orang pertama itu ialah Rasulullah. Apabila mereka melihat Rasulullah, orang Musyrikin berkata ;

“ini dia Al-amin yang kami redha dengan hukumannya. Ini dia Muhammad.”

Lalu Rasulullah memerintahkan mereka supaya membawa sehelai kain. Apabila sudah dihamparkan kain itu, Rasulullah mengambil Hajar Aswad itu dan diletakkan diatas kain itu dan menyuruh tiap-tiap kabilah memegang penjurunya masing-masing. Setelah sampai di tempatnya, Rasulullah meletakkan Hajar Aswad ditempatnya. Kemudian mereka menyudahkan pembinaannya.

5. Peristiwa ini menunjukkan kebijaksanaan Rasulullah dalam keadaan semua pihak meneriman caranya. Sayugia, kita menyedari betapa musuh menerima kebijaksanaan Rasulullah sebelum menerima wahyu. Sifat mulia nabi ini supaya tiada alasan yang benar bagi mereka yang bermusuh dengannya setelah diajak kepada Islam.

6. Hajar Aswad sunat kita kucup hajarAswad. Kena faham sunat, bukan wajib. Jika tidak boleh kucup, maka isyarat sahaja kepadanya. Kita kucup Hajar Aswad bukan kerana sembah batu, tetapi kerana mengambil amalan Nabi Muhammad kerana ia batu daripada syurga.

Tafsir Quran | Surah An Nasr.

1. Dikenali dengan Surah Kemenangan. Surah ini diturunkan sebelum berlakunya Fath Makkah. Untuk menyatakan mukjizat Allah tentang janji kemenangan. Walaupun dimulakan dengan Fiil Madhi, tetapi ia berlaku sebelum daripada Fath Makkah.

2. Nabi dihalang daripada masuk Makkah. Walau nabi menyatakan kepada orang beriman, kita akan masuk Makkah. Menguji keimanan orang-orang beriman. Orang munafiq yang lemah iman mereka mempersoal, mana janji kemenangan mu. Sehingga nabi mengutus Uthman. Kemudian Uthman tidak dikembalikan. Sehingga sahabat-sahabat berbaiah dengan nabi dan bersedia menyerang Makkah.

3. Baiah dengan maksud kita jual diri kita, harta kita kepada Allah. Bukan sebarangan. Allah redha kepada mereka yang berbaiah. Walau mereka buat maksiat selepas daripada itu, Allah ampunkan dosa mereka.

4. Apabila orang Musyrikin mengetahui sahabat nabi berbaiah kepada nabi, orang musyrikin mengutus Suhail untuk mematerai perjanjian. Maka termaterai lah perjanjian Hudaibiyyah. Perjanjian Hudaibiyah adalah muqadimah kepada Fath Makkah.

5. Kemudian nabi mempersiapkan tentera. Dan nabi masuk ke Makkah dalam keadaan aman. Dan nabi mengisytihar perintah berkurung. Setelah selesai perintah berkurung, penduduk Makkah datang beramai-ramai. Lalu nabi membebaskan semua penduduk Makkah kecuali 12 orang, setengah riwayat menyatakan 20 orang kerana mereka penjenayah besar. Namun sebahagian mereka dibebaskan dan hanya beberapa orang sahaja daripada mereka yang dibunuh. Termasuk dalam mereka yang dibebaskan ialah Ikrimah bin Abu Jahal. Ini lah yang dimaksudkan dalam ayat ini.

6. Dan surah ini juga nak mengambarkan bahawa Allah mengisyaratkan nabi akan wafat. Inilah pandangan Ibnu Abbas. Ibnu Abbas adalah sahabat yang didoakan oleh nabi, alim dalam ilmu tafsir al-Quran.

Catatan,
Abdul Latif Al Marangi,
15 April 2016.