Buta Hati Tuduh Melayu Angkuh

96

Melayu dituduh angkuh dibandingkan dengan Kemboja, menunjukkan jahil tentang sejarah kejatuhan kerajaan Melayu Islam di Kemboja, atau kerana buta hatinya.

Islam pernah dianut oleh bangsa Champa iaitu rumpun Melayu di Indochina yang memerintah Kerajaan Champa. Pengaruh kerajaan ini berkembang dalam wilayah yang luas sehingga wujudnya Pangkalan Champa (Pengkalan Chepa) di Kelantan. Malangnya, kerajaan ini mengalami kelemahan dan kejatuhan sehingga rumpun Melayu Champa menjadi kumpulan minoriti yang merempat kemiskinan dan kejahilan dalam tanah air mereka sendiri, sehingga mereka menjadi lemah tidak bermaya.

Pada era komunis, ramai penganut Islam dibunuh dan paling ramai yang berhijrah ke Malaysia. Kalau Melayu ini angkuh, mereka tidak akan memilih Malaysia sebagai tempat hijrah untuk menyelamatkan agama mereka.

Allah SWT menceritakan tentang kisah kaum yang dimusnahkan melalui firman-Nya:

﴿فَكَأَيِّن مِّن قَرۡيَةٍ أَهۡلَكۡنَٰهَا وَهِيَ ظَالِمَةٞ فَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَبِئۡرٖ مُّعَطَّلَةٖ وَقَصۡرٖ مَّشِيدٍ٤٥ أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٞ يَعۡقِلُونَ بِهَآ أَوۡ ءَاذَانٞ يَسۡمَعُونَ بِهَاۖ فَإِنَّهَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَلَٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِي فِي ٱلصُّدُورِ٤٦﴾

“Maka, bukan sedikit negeri-negeri yang telah Kami binasakannya dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah (tembok-tembok) kotanya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong dan ditinggalkan). (45) Oleh itu, apakah mereka tidak mengembara di muka bumi (supaya dengan melihat kesan-kesan tersebut) mereka mempunyai hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau mempunyai telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya, bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang berada dalam dada. (46)” (Surah al-Hajj: 45-46)

Rumpun Melayu di Semenanjung menerima Islam secara damai dan aman yang disampaikan oleh para pendakwah yang datang berdagang dengan akhlak mulia, suatu perkara yang menjadi sebahagian daripada ajaran Islam. Mereka semuanya memeluk Islam, bermula daripada kalangan raja-raja sehinggalah rakyat biasa. Sehinggakan perkataan Melayu dan Islam menjadi satu, malah bangsa bukan Melayu yang menganut Islam juga dianggap masuk Melayu, sehingga masuk Islam dinamakan masuk Melayu.

Adapun Melayu yang dahulunya menganut agama Hindu, Buddha dan agama lain memeluk Islam dengan mudah kerana mengikuti para pendatang asing dari Arab dan India Muslim yang membawa Islam. Islam yang dianut diamalkan secara sempurna dengan gabungan kukuh berdasarkan peranan raja-raja dan ulama’ (umara’ dan ulama’), sehingga tertegaknya negara yang berdaulat dan tamadun Islam di Nusantara oleh rumpun Melayu yang menganut serta mengamalkan Islam secara sempurna.

Hal ini menunjukkan bangsa Melayu menerima kebenaran dengan mudah kerana sifat tidak degil dan tidak angkuh seperti Iblis yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

﴿وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَٰفِرِينَ٣٤﴾

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, ‘Sujudlah kamu (berikan penghormatan) kepada Adam.’ Lalu mereka sekaliannya sujud melainkan Iblis; ia enggan dan takbur dan menjadilah ia termasuk golongan yang kafir.” (Surah al-Baqarah: 34)

Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ خَلَقۡنَٰكُمۡ ثُمَّ صَوَّرۡنَٰكُمۡ ثُمَّ قُلۡنَا لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ لَمۡ يَكُن مِّنَ ٱلسَّٰجِدِينَ١١ قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِي مِن نَّارٖ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِينٖ١٢﴾

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada para malaikat, ‘Sujudlah kamu kepada Adam’, lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud. (11) Allah berfirman, ‘Apakah yang menghalangimu untuk sujud ketika Aku memerintahkanmu?” Iblis menjawab, ‘Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan aku daripada api, sedang dia Engkau jadikan daripada tanah.’ (12)” (Surah al-A‘raf: 11-12)

Kalau Melayu ini angkuh seperti Iblis, sudah pasti mereka tidak akan memeluk Islam dengan mudah kerana Islam dibawa oleh pendatang asing daripada kalangan bangsa Arab dan India Muslim yang bukan Melayu.

Apa yang sebenarnya berlaku, Melayu yang berkuasa dan mendaulatkan Islam tidak memaksa penganut agama lain memeluk Islam, tetapi melaksanakan Islam yang adil kepada semua. Sehinggakan, mereka berjaya mengislamkan kaum bangsanya sendiri dan kaum lain dalam kalangan bukan Islam yang datang ke sini.

Teguhnya pegangan Islam bangsa Melayu ini sehingga gagal dimurtadkan oleh penjajah yang datang silih berganti, bermula dengan Portugis sehinggalah Belanda, British dan Jepun. Melayu tidak boleh dimurtadkan sepertimana yang berlaku di negara-negara lain, apatah lagi dipengaruhi oleh ideologi komunis yang tidak percayakan Tuhan.

Akan tetapi, hanya segelintir sahaja yang terlalu bebal dan buta al-Quran. Sesiapa yang murtad, mereka dianggap bukan Melayu lagi.

Sifat Islam yang masih ada kepada Melayu menjadikan mereka boleh menerima masyarakat majmuk yang dipaksa oleh penjajah atas sifat kemanusiaan Melayu Islam yang ada dalam dirinya. Sehinggakan, satu keluarga bukan Islam boleh berada di tengah masyarakat Melayu yang besar jumlahnya.

Perlembagaan Persekutuan menegaskan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, pada masa yang sama hak beragama masih diberikan kepada penganut agama lain. Hal ini termasuklah hak berbahasa kepada kaum lain, sehingga dibenarkan sekolah jenis kebangsaan berbagai-bagai etnik wujud. Keadaan ini tidak berlaku di negara-negara lain. Kalau Melayu ini angkuh, nescaya tidak akan berlaku toleransi seperti ini.

Malangnya, terdapat dalam kalangan orang Melayu yang lebih dahsyat kefahamannya daripada kacang yang tidak berakal, bermata dan bertelinga yang melupakan kulitnya, sehingga menuduh bangsanya rasis, angkuh dan sebagainya. Termasuk yang dianggap ilmuwan yang berjela ijazahnya dan pemimpin yang diulungkan, tetapi lemah akalnya atau akalnya lebih kecil daripada ilmu dan ketokohan jasadnya.

Alhamdulillah, Melayu selamat daripada makhluk asing yang menggunakan godaan slogan Reformasi dan Arab Spring, sehingga ada negara yang tumbang kerajaannya dan hanya tinggal gusi. Malah, ada negara yang hancur kerana terlibat dalam perang proksi yang telah diaturkan oleh makhluk asing itu.

Melayu masih selamat daripada gangguan Musa Samiri yang merosakkan aqidah Bani Isra’il pada zaman dahulu. Allah SWT berfirman kepada Nabi Musa AS:

﴿قَالَ فَإِنَّا قَدۡ فَتَنَّا قَوۡمَكَ مِنۢ بَعۡدِكَ وَأَضَلَّهُمُ ٱلسَّامِرِيُّ٨٥﴾

“Maka Allah berfirman kepada Nabi Musa, ‘Sesungguhnya, Kami telah menguji kaummu dengan satu fitnah sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri.’” (Surah Taha: 85)

Hanya Melayu yang tidak sayangkan kaumnya yang berada di luar tabii atau tegak bersama fanatik kaumnya sahaja yang merosakkan Melayu itu sendiri dan merosakkan semua bangsa dalam masyarakat majmuk. Sebaliknya, hanya Melayu yang tegak bersama Islam akan menjadikan Melayu selamat dan semua bangsa selamat.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 16 Ramadan 1444 / 7 April 2023
[Bil: 25 / 2023]