Oleh : Khairul Nizam Abdullah
‘Lesu’…. itulah gambaran yang terlukis diwajah pengusaha bot penambang Seberang Takir.
Dengan senyuman ‘kelat’ menanti penuh sabar kehadiran para pengguna, kenderaan air yang pernah menjadi pengangkutan utama satu ketika dahulu, bagi penduduk untuk ke bandar Kuala Terengganu.
Ketika meninjau di pangkalan penambang, hanya dua buah bot sahaja yang beroperasi, yang sanggup ‘menempuh badai’ muara sungai Terengganu.
Dimana silapnya sehingga keadaan sedemikian berlaku?
Apakah puncanya diletakkan ke atas ‘pundak’ pengusaha bot itu sendiri atau pun kegagalan kerajaan yang memerintah Terengganu bagi mengatasi permasalahan ini.
Sepatutnya kerajaan memikirkan satu mekanisma penyelesaian konkrit bagi merungkai kesusahan yang ditanggung oleh pengusaha pengangkutan alternatif ke Pasar Payang tersebut.
Jambatan yang akan menjadi kebanggaan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, anak jati dan wakil rakyat Seberang Takir, bakal ‘membunuh’ industri warisan rakyat Terengganu itu.
Anak cucu cicit nanti, mungkin tidak kenal apa itu bot penambang kerana ia sudah berkubur, dan ‘ikon’ Seberang Takir akan hanya menjadi sejarah ditelan zaman.
Dengan kerancakkan pembangunan sekeliling, sepatutnya kerajaan Terengganu melakukan sesuatu yang luar biasa bagi menyelamatkan warisan khazanah pelancongan itu.
Bukan hanya dengan memberi sedikit peruntukan untuk jangkamasa pendek, umpamanya memberi cat dan memperbaiki bot usang, sedangkan peruk nasi ‘pak penambang’ sedang terancam!
Jika satu-satunya aset di Seberang Takir yang diwakili oleh Menteri Besar sendiri tidak mampu dipelihara oleh kerajaan sekarang …… Adakah wajar bagi kita mengekalkan pemerintahan yang ada sekarang……untuk anak cucu akan datang?