Beliau yang mempunyai latar belakang pendidikan agama di peringkat sekolah menengah tidak terus menyertai PAS walaupun susur galur kehidupannya adalah dalam lingkungan orang agama.
Bob merupakan cicit ulama terkenal Kelantan, Tok Kenali dan bapa saudaranya Wardi Ahmad pernah menjadi ADUN PAS DUN Lundang, Kelantan.
Beliau menyertai PAS pada bulan Februari 2011 adalah atas rasa kesedaran dan keinsafan kerana ingin dipimpin oleh mereka yang berjuang untuk beramal soleh didunia dan beriman dengan hari akhirat.
Berdasarkan pengalaman beliau yang panjang dalam dunia seni tanah air, Bob berani dan lantang menyatakan dengan tegas bahawa dunia yang pernah diceburi itu penuh dengan kepura-puraan dan lebih banyak membawa manusia kepada jalan ‘songsang’.
Oleh itu, beliau telah menukar kehidupannya secara total apabila berlaku peristiwa kematian seorang ‘rakan seninya’ yang menurutnya, seorang Islam yang sangat berdosa kerana tidak pernah ‘solat dan puasa’.
“Semakin hari kepercayaan saya bahawa setiap dosa yang pernah saya lakukan akan mendapat balasan siksa dari ALLAH jika pengampunan tidak saya perolehi. Untuk itu bagi menggantikan dosa yang lalu saya mencari hidup berkebajikan dan memberikan kebajikan pada Agama, diri dan makhluq,”tulis Bob dalam blognya.
Dalam menghadapi menghadapi suasana politik dan pilihanraya baru-baru ini, Bob mengkritik beberapa tindakan ahli PAS yang melupakan ‘prinsip’ politik Islam kerana mahu mengejar kemenangan dan memerintah sebagai sebuah kerajaan menggantikan Umno dan Barisan Nasional.
“Lebih dahsyat lagi lantaran kepercayaan kepada slogan-slogan propaganda, seperti “ini kalilah” dan macam-macam lagi menyebabkan tumbuhnya pelbagai teori kempen berbentuk semasa dalam PRU 13. Hingga ada ahli PAS yang menulis didalam FB, jangan membicarakan isu syurga dan neraka sebagai bahan kempen kerana ianya akan membuat PAS bakal kalah.
“Sebagai gantinya isu ekonomi dicadangkan menjadi bahan kempen PAS kerana ada golongan yang sudah tidak sabar untuk mendapatkan cuti kemenangan, seolah-olah mereka membiarkan ALLAH melihat PRU 13 tanpa berkehendak keatas agamanya dibumi Malaysia,”tambah Bob dalam tulisannya yang diterbitkan pada 19 Mei lalu.
Menyentuh soal tindakan parti politik khususnya Pakatan Rakyat pasca PRU-13, Bob meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan Ulamak PAS dalam menangani isu penipuan yang berlaku dalam PRU-13.
Keyakinannya itu menimbulkan kontroversi, sehingga beliau dan pengelola laman sosial ‘fanpage’nya berselisih pendapat.
“Di FB dan laman sosial, tercetusnya pelbagai pertikaian antara beberapa pihak dengan gaya pendita dan pendosa yang percaya kepada pendapat masing-masing. Saya dan admin yang mengelolakan fanpage saya juga terpisah diatas pendapat masing-masing.
“Dia bersetuju dengan aktiviti jalanan dan saya berpegang kepada pendapat Ulamak PAS yang tidak bersetuju dan Presiden yang tidak menggalakkan,”jelas Bob
Secara sinis Bob membandingkan cara gaya kepimpinan Ulamak dalam PAS dengan kepimpinan Umno, bahkan dengan berani Bob memberi peringatan kepada kepimpinan PAS, sesungguhnya Ulamak yang menjadi pewaris nabi masih relevan.
“Maka saya perlu sandaran. Mungkin ULAMAK haraki PAS tidak berpakaian sekacak pemimpin UMNO yang mempunyai pelbagai tema, atau kalau nak dibandingkan dengan AJK PAS sendiri, seperti Dato’ Mahfuz, Salehuddin Ayub, Husam Musa, Haniffa Maideen atau yang paling simple, saudara Khalid Samad,
“tetapi tidakkah kita percaya bahawa nikmat hidup yang kita rasai hari ini adalah kerana adanya keberkatan ULAMAK sebagai pewaris NABI-NABI yang merahmati seluruh alam,”tegas Bob.