Belanja RM46 juta Tapi Pesawah Tempatan Macam Orang ‘Myanmar’

648

Menurut mereka, kemudahan pengairan yang dibangunkan tidak sepatutnya dibina sebelum memastikan sumber air mencukupi.

“Air hanya ada dua kaki setengah dalam parit, mana cukup untuk tanam padi, itu pun baru ada sejak hujan dua tiga hari ini, sebelum ini lebih teruk,

“lepas (peruntukan) RM46 juta ada tambahan pula (peruntukan) kita duduk macam ni juga (tidak berubah) buat longkang pun longkang pecah,” adu Abdul Rahman Awang kepada Buletinonline.

Beliau yang dikenali dengan panggilan ‘Pak Muda’ berkata demikian ketika ditemui dalam tinjauan Buletinonline ke kampong tersebut pada Rabu 8 Ogos.

Hampir separuh padi dalam petak-petak sawah di kawasan penanaman blok A sawah padi tersebut berwarna kekuningan kerana tidak mendapat cukup air.

Sementara itu, beliau yang mempunyai pengalaman padi lebih 20 tahun mendakwa, sistem perparitan yang dibina agak pelik dan tidak pernah dilaksanakan dimana-mana tempat.

Katanya, parit air masuk dan air buang dibina bersebelahan dan selari melingkungi kawasan penanaman padi memberi kesukaran kepada para pesawah.

Selain itu, kata beliau, parit konkrit yang dibina tidak dibuat saluran untuk memasukkan air ke dalam petak sawah.

“Air tak boleh masuk dalam petak sawah sebab tak ada saluran masuk, kami terpaksa buat salur dan sedut air masuk macam sedut minyak dalam tong,”jelasnya

DISKRIMINASI

Pada musim penanaman sebelum ini, para pesawah Jelapang tidak mendapat hasil yang menguntung kan kerana potongan padi yang terlalu tinggi.

Justeru, para pesawah Jelapang telah menghantar memorandum kepada pelbagai pihak berkaitan, menuntut supaya diberikan hak subsidi dan insentif yang mereka tidak perolehi.

Rakan pesawah Pak Muda mendakwa kehidupan penanaman padi di kampung Jelapang bertambah terhimpit apabila berlaku diskriminasi dan pilih kasih semakin menjadi-jadi diantara pesawah yang dianggap sebagai penyokong kerajaan dan bukan penyokong kerajaan.

Yusof Bin Nor mendakwa beliau tidak mendapat bantuan input padi seperti baja dan racun kerana ia dikawal oleh ketua blok, seorang Imam masjid kampong berkenaan.

“sejak dari awal waktu sodok meratakan sawah sudah berlaku tidak adil, tanah dia diratakan molek, orang lain tak,

“saya cakap, Tok Imam biar jadi Tok Imam sahajalah, jangan ‘pegang’ (jawatan ketua blok) projek padi ini, nanti (lama kelamaan) orang tak pergi sembahyang (di masjid),”katanya.

Beliau mendakwa pesawah kampung berkenaan yang kononnya ‘Jelapang Padi Baru’ negeri Terengganu menerima harga jualan padi yang rendah, potongan yang terlalu tinggi, tidak ada subsidi dan insentif.

Beliau menyifatkan para pesawah umpama ‘warga Mayanmar’ yang terpaksa ‘berdagang’ walaupun lahir di tanah air sendiri.

“Jadi kita (pesawah Kampung Jelapang) macam rakyat Myanmar (menjadi) berdagang di negara sendiri mari tebas tebang buat padi,

“subsidi boleh ke orang, insentif beri ke orang harga padi 25 sen……macaman kita (boleh) jadi rakyat Myanmar?,

“(sedangkan) tanah hak kita, usaha kita (buat) tebas tebang (hutan) dari tok nenek kita lagi…….acu kita fikir!,”tegas Yusof