Adalah amat mengejutkan apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam ‘ Majlis Taklimat Keselamatan Bersama Pemimpin Masyarakat’ di Pusat Dagangan Antarabangsa(MITC), Ayer Keroh Melaka pada hari sabtu lalu tergamak mengungkapkan “Ada Timbalan Menteri cengkadak buruk”, yang jelas ditujukan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorty.
Waythamoorty mempersoalkan kekerapan kes-kes tembak bunuh oleh Polis terhadap individu yang dikaitkan dengan kegiatan jenayah. Kenapa tiada amaran awal melalui tembakan ke udara dilakukan sebelum suspek di tembak. Soal Waythamoorty betul atau salah, ia perkiraan lain. Namun, mengeluarkan perkataan begitu sesama jemaah menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang DiPertuan Agong adalah tidak wajar.
Lebih buruk lagi, Zahid dalam ucapannya membuat dakwaan, ‘kira-kira 28,000 dari 40,000 anggota gengster terdiri dari masyarakat India dan tiada salahnya menahan golongan itu. Bagaimana keadaan mangsa2 rompakan, mangsa2 bunuh masa tembakan ini, kebanyakannya adalah orang melayu kita. Kebanyakannya ialah bangsa kita.
Saya fikir, cara paling baik jangan ada kompromi dengan mereka. Jangan ada lagi amaran kepada mereka, KITA DAPAT BUKTI KITA TEMBAK DULU’.
Buat majlis atas nama Kerajaan, dengan peruntukan Kerajaan; jadi medan kempen pemilihan UMNO, mengungkapkan dakwaan yang sangat rasis!
Bagaimana seorang Menteri Dalam Negeri membuat kenyataan ‘berupa arahan’ yang melanggar tatacara dan procedur yang mesti dipatuhi bila berhadapan kes-kes Jenayah?
Dalam masa yang sama, menyifatkan Kumpulan Tiga Line yang disifatkan sebagai rakan2nya dan menyarankan agar pihak tersebut ‘ menjalankan apa yang patut’.
Bagi saya, Zahid sedang tertekan dengan saingan sengit kerusi Naib Presiden Umno yang sedang disandangnya. Ia mesti dilihat lebih melayu dan pembela melayu untuk mendapat undi perwakilan. Dia sedar, kekalahan dalam pemilihan 19 oktober ini boleh meleburkan kedudukannya dalam parti dan Kerajaan.
Dia sudah tidak peduli kesan ucapannya dalam menjaga keharmonian kaum dan keselamatan rakyat. Yang difikirkannya mesti menang Naib Presiden Umno dengan apa cara sekalipun.
Bagaimana isu perkauman diguna sepenuhnya sewaktu PRU 13, untuk memainkan sentimen melayu; nampaknya, cara yang sama dilakukan bagi meraih simpati perwakilan Umno.
PAS dan Pakatan Rakyat jangan sesekali meniru cara pemimpin Umno yang sangat menjijikkan ini. Kita mesti rasional dan mengisi keperluan rakyat berbilang kaum dengan lebih matang dan toleran. Zahid Hamidi adalah contoh seorang pemimpin Umno yang tidak bertanggungjawab terhadap keharmonian dan keselamatan rakyat negara ini.
Sampai bila api perkauman mahu dimarakkan semata-mata untuk kepentingan peribadi?
Justeru, bagi saya, hubungan dalam Pakatan Rakyat mesti diperkasakan. Usaha dan langkah-langkah kearah itu mesti disemarakkan. Tidak timbul untuk dikaji semula, apatah lagi keluar dari permuafakatan yang sedia terjalin. PAS jangan terheret melalui jarum perkauman yang disebarkan.
Teringat kata-kata YB Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam usrah sebelum mesyuarat PAS Pusat, ‘ Tahaluf Siasi jangan dilihat dalam konteks politik semata2, tapi ia medan dakwah yang terbuka luas. Bukan sekadar bincang pasal kerusi, tapi jinakkan manusia kepada Iman’.
Ruang dan peluang bersama2 DAP dan PKR jika dimanfaatkan dengan baik, adalah medan dakwah yang paling berkesan. Tunjukkan akhlak kita, tingkatkan perilaku yang menggambarkan keindahan Islam.
In sha Allah, pendekatan rasis yang digunapakai sebagai senjata Umno pasti berkubur. Akhirnya, rakyat akan memilih Kerajaan yang benar-benar berfungsi sebagai payung untuk seluruh masyarakat, tidak kira apa agama dan warna kulit.
****Artikel Tulisan Mazlan Aliman, AJK PAS Pusat, Pengerusi Persatua Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK)











