Antara Perjuangan Palestin Dan Tamil Eelam

1087

Marilah berfikir dengan matang dan sejahtera terhadap kalangan yang menyamakan perjuangan Palestin dengan Tamil Eelam dengan memanfaatkan sumber maklumat terkini dan menyaksikan di lapangan yang penuh dengan sumber ilmu terkini yang boleh dibaca dan dilihat dengan mudah.

Kenalilah kedua-duanya terlebih dahulu supaya dapat menilai secara benar atau bohongnya dan jangan tertipu pada zaman yang digoda oleh banyak pembohongan yang dikawal oleh undang-undang yang rapuh dan nilai kemanusiaan yang dihilangkan.

Tamil Eelam ialah nama yang diberikan kepada golongan kaum Tamil di Sri Lanka yang mahu mewujudkan negaranya sendiri di kawasan utara dan timur negara tersebut. Nama kumpulan tersebut berasal dari nama Tamil kuno bagi Pulau Sri Lanka.

Perkataan Eelam ialah kumpulan militan Tamil bernama Harimau Pembebasan Tamil Eelam (Liberation Tigers of Tamil Eelam, LTTE), yang digolongkan sebagai pertubuhan pengganas yang diharamkan di 31 buah negara termasuk Amerika Syarikat, India, United Kingdom, Kesatuan Eropah, Kanada dan Australia, mentadbir sebuah negeri de facto di kebanyakan kawasan Utara dan Timur Sri Lanka.

Pada awal tahun 2009, tentera Sri Lanka melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap Tamil Eelam yang berkesudahan kejatuhan angkatan darat biasa LTTE. Saki-baki wilayah Sri Lanka yang dikuasai LTTE, iaitu sebuah pesisir pantai kecil di utara Mullaithivu berhampiran lagun Nathikandal, akhirnya ditawan pada 18 Mei 2009.

Kebanyakan barisan kepimpinan awam dan tentera tertinggi Tamil Eelam, termasuklah ketua mereka iaitu Velupillai Prabhakaran, dilaporkan terkorban dalam pertempuran terakhir. Mayat Velupillai Prabhakaran pun telah ditemui. Semenjak itu, negeri Tamil Eelam bukan lagi sebuah entiti wujud.

Adapun kaum Tamil pula adalah sebuah kumpulan etnik yang berasal dari Tamil Nadu, yang menjadi sebahagian daripada negara India yang sudah wujud dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Maka negara Sri Lanka juga begitu dan menjadi negara jiran India. Oleh yang demikian, perjuangan penubuhan negara oleh kumpulan Tamil Eelam adalah tidak lagi relevan dan menjadi masalah dalam negara yang sudah pun diharamkan oleh negaranya dan masyarakat antarabangsa.

Manakala perjuangan Palestin ialah menegakkan sebuah negara di Timur Tengah di antara Laut Tengah dan Sungai Jordan. Status politiknya masih dalam perdebatan. Sebahagian besar negara di dunia termasuk negara-negara anggota OIC, Liga Arab, NAM, dan ASEAN telah mengakui kewujudan negara Palestin.

Wilayah Palestin saat ini terbahagi kepada dua entiti politik, iaitu wilayah pendudukan Israel dan pihak berkuasa Palestin. Seterusnya ditubuhkan negara yang dinamakan Israel di atas bumi Palestin, dan kerajaan Palestin yang dirampas tanah airnya.

Israel yang diasaskan pada tahun 1948 di atas tanah yang pada masa itu diduduki orang Arab merupakan negara perkauman Yahudi yang tunggal di dunia, kemudiannya menceroboh bahagian Arab, sehingga rakyat Palestin bernegara tanpa tanah air.

Puncanya daripada penjajah yang mencipta Perisytiharan Balfour 1917 yang merupakan kenyataan rasmi dasar kerajaan British yang menyokong penubuhan negara Yahudi di Palestin bagi bangsa Yahudi di negara lain.

Penubuhannya adalah perjuangan organisasi Zionis, kumpulan fanatik Yahudi yang menganggap mereka sahaja bangsa yang mulia dan boleh melakukan apa sahaja terhadap bangsa bukan Yahudi.

Deklarasi Balfour adalah merampas tanah air daripada penduduknya yang telah ada oleh kuasa penjajah yang tidak berhak terhadap negara tersebut.

Maka perjuangan Palestin adalah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa, berkonsep mempertahan dan menuntut hak yang sah mengikut konsep politik dan hak asasi manusia yang konsisten.

Sudah jelas dan nyata perbezaan yang tidak boleh dibandingkan dengan Tamil Eelam, jauh jaraknya laksana langit dan bumi, Timur dan Barat.

Maka wajib bagi Malaysia menyokong perjuangan Palestin dan haram bersimpati dengan kumpulan Tamil Eelam. Wajib mengawal rakyatnya supaya tiada sebarang hubungan dan simpati dengan kumpulan haram itu.

Kalangan rakyat yang ada hubungan dengan kumpulan itu sangat memalukan, tidak menghormati dan tidak setia kepada negara sendiri, yang dia berpijak di atas buminya dan bernaung di bawah langitnya.

Sikap bersimpati dengan Tamil Eelam yang diharamkan oleh masyarakat antarabangsa, termasuk negara India sendiri dan dihapuskan di Sri Lanka adalah memalukan negara Malaysia dan rakyatnya. Maka langkah yang segera dan berani sangat wajar dilakukan oleh kerajaan.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 12 Safar 1441 / 12 Oktober 2019