Agihan Kad Sejahtera Bukti Kerajaan PAS Terengganu ‘Tidak Mengelat’

1366

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Pelaksanaan program Kad Sejahtera membuktikan bahawa Kerajaan PAS Terengganu tidak pernah mengelat atau berdolak-dalik memenuhi janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, semua janji dalam manifesto ditunaikan walaupun dalam keadaan sukar serta mengambil sedikit masa.

“Terbaru adalah hari ini, kita serahkan Kad Sejahtera kepada yang layak sebagai bukti kita tidak sekadar berjanji umpama menanam tebu di tepi bibir malah menunaikannya.

“Pemegang Kad Sejahtera sangat bertuah, tuan-puan boleh mendapatkan rawatan kesihatan berjumlah maksimum sehingga RM500 setahun di klinik swasta terpiliyan yang dilantik oleh kerajaan.

“Kad ini juga boleh digunakan untuk seluruh ahli keluarga, perlu dibawa semasa mendapatkan rawatan dengan kos maksimum RM70 setiap rawatan,” tegas Ir Saiful Azmi.

Menurutnya juga, asas pertimbangan utama kerajaan negeri merealisasikan program ini adalah berdasarkan keperluan kebajikan dari aspek kesihatan, di mana ia adalah salah satu tanggungjawab kerajaan bagi memastikan rakyat hidup sihat dan sejahtera.

“Penerima Kad Sejahtera ini adalah mereka daripada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar.

“Justeru, program ini bersifat penyelesaian jangka masa pendek supaya memberi kemudahan kepada rakyat Terengganu mendapatkan rawatan kesihatan sebaik mungkin,” tambahnya lagi.

Beliau yang juga Pengarah PAS DUN Kemasik berucap di hadapan 136 orang penerima Kad Sejahtera dari seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, yang diadakan di Dewan Sivik Kampung Tengah, Kertih, di sini, pada Khamis, 10 Oktober.