Anda Adalah Anda

453

Oleh : MNA

Ada satu cerita dongeng dahulu kala. Kisah di negara Antah Berantah, seorang lelaki yang sentiasa mahu untung. Tak kira dengan siapa, mesti dia mahu menang. Dia berkerja sebagai pemanjat pokok kelapa.

Suatu hari dia diminta untuk memanjat pokok kelapa dan akan diberikan upah selepas memanjatnya. Diapun memulakan kerjanya. Sampai di atas, setelah banyak kelapa dipetik, diapun mahu turun. Sedang dia turun dan masih berada di puncak, tiba-tiba angin kuat datang, menggoyangkan pokok kelapa itu dengan begitu kuat.

Dia bertahan, turun tidak, naikpun tidak. Agak lama dia digoyangkan ribut yang kuat itu, sehinggalah dia berdoa. Dia berkata jika aku dapat turun dengan selamat, aku akan korbankan seekor kambing untuk sembahan.

Lalu angin menjadi perlahan secara mendadak. Dia berasa lega. Dia turun dengan sedikit cepat, tetapi sampai di pertengahan pokok, datang semula angin kencang dan dia bertahan lagi. Kali ini dia agak lama, sehinggalah dia berdoa lagi.

Jika aku tidak jatuh dari pokok ini, aku akan sembahkan seekor ayam sebagai terima kasih. Dan, angin berubah menjadi sepoi-sepoi. Dia bersegera turun, tetapi malang, sekali lagi dia didatangi ribut yang kuat, pada hampir dia sampai ke perdu pokok.

Dia berpaut kuat kerana kedudukannya masih tinggi. Dia segera berniat, jika dia selamat, tidak jatuh dari pokok, dia akan memberikan roti kepada orang miskin. Dan kemudiannya angin ribut berlalu. Dia secara bertenang, turun sehingga ke perdu pokok.

Bila sampai ke bawah, perdu paling rendah dia pun melepaskan pegangan tangannya dari pokok. Dia pun jatuh ke tanah. Dengan memek muka yang kecewa, dia berkata, kambing tak jadi, ayam tak jadi, rotipun tak jadi sebab aku jatuh dari pokok ni. Cerita ini tidak lebih seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk. Ianya hanya dongengang sahaja.

Apa pengajaran kita dapat? Semasa Covid, macam-macam orang berdoa, berniat dan mengkritik orang pasal agama. Bila hampir habis Covid macam-macam pula dilihat perangai orang. Bukan semua, tapi ada. Moga kita tidak melepaskan tangan kita di perdu pokok untuk jatuh, dengan niat nak lari dari apa yang kita azamkan dulu.

Yang bukan dari spesis ini, tak perlu risau, teruskan kerja baik anda. Istiqamah sentiasa, istiqamah atas jalan Allah, sehingga mati, semoga saya dan anda adalah salah satu daripada orang-orang yang beristiqamah.

Anda adalah anda, samada di depan makhluk, atau ketika bersendirian. Pandangan orang pada anda hanyalah sangkaan sahaja, tetapi anda, anda tahu siapa diri anda sebenarnya dengan yakin tanpa sangkaan. Adakah hanya berpura-pura atau sememangnya ikhlas. Berbahagialah orang yang sama sahaja akhlak Islamnya pada setiap waktu.