Semoga PRK KKB Berjalan Lancar

373

Rakyat Malaysia khasnya di kawasan Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor akan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil tidak lama lagi. Sekali lagi sistem demokrasi menawarkan peluang buat rakyat Malaysia untuk memilih wakil mereka secara bebas jika ada pertandingan selepas proses penamaan calon 27 April ini.

Setelah lebih 66 tahun Merdeka kita mengharapkan semua pihak akan berkempen secara matang dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang dengan memberi ruang seluas-luasnya kepada rakyat para pengundi di KKB untuk menilai dan membuat keputusan.
Biar segalanya berjalan dalam suasana muhibbah dan harmoni tanpa ada sebarang unsur paksaan atau diskriminasi.

Kita mengharapkan tiada penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pihak untuk mempengaruhi para pengundi. Kita yakini pengundi akan memilih calon yang berwibawa, bersih, bermoral dan mampu membela nasib dan kebajikan mereka.

Rakyat Malaysia berbilang kaum di KKB diyakini dapat membuat keputusan dengan sebaiknya demi masa depan negara dan negeri Selangor.

Selamat berpilihanraya para pengundi Kuala Kubu Baharu.

DR. HALIMAH ALI
Ketua Portfolio Perpaduan Negara Perikatan Nasional/
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat/
Ahli Parlimen Malaysia kawasan Kapar

Isnin , 22 April 2024