Majukan Semula Batu Rakit

113

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri dipohon memajukan kembali Kawasan Setiu khususnya DUN Batu Rakit yang pada suatu ketika dahulu menjadi salah satu daerah terkenal dengan pembangunan yang pesat.

Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu Mohd Shafizi Ismail berkata, potensi pembangunan di DUN Batu Rakit dipandang sebagai kawasan unik dengan pantai, bukit dan kawasan baroh yang berpotensi untuk dibangunkan di bawah pelbagai sektor termasuk pelancongan, pertanian, perikanan, dan usahawan.

“Peluang yang ada ini saya cadangkan supaya kerajaan dapat memajukan Batu Rakit ini sebagaimana sebelum zaman penjajah dahulu batu rakit terkenal sebagai salah sebuat daerah yang telah dimajukan.

“Tetapi apabila ia telah digabungkan daerah dengan Kuala Terengganu dan hari ini Kuala Nerus ia seolah nampak sepi daripada pembangunan,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, pada semalam.

Menurutnya, beberapa isu yang berlegar di daerah tersebut yang perlu diambil tindakan segera.

“Akhir-akhir ini kerap berlaku paip pecah di sekitar Maras dan Wakaf tengah yang saya dimaklumkan ‘main pipe’ dikawasan itu sudah terlalu lama dan perlu kepada pembaharuan.

“Adakah pihak kerajaan sudah ada cadangan untuk menukar semua paip yang sudah terlalu lama ini?,” soalnya.

Sementara itu, beliau turut mencadang berkenaan tanah industri di Mengabang Panjang agar dimasukkan dalam pelan stategik penjanaan pendapatan baharu sebagaimana yang dititahkan oleh Tuanku Sultan.