Anak Muda Melestarikan Perjuangan dan Meruntuhkan ‘Tirani’

1149

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

“Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah!” ujar seorang tokoh mahasiswa aliran kiri pada tahun 1960-an.

Ya, ungkapan ini ada kebenarannya yang tersendiri apabila kita menyemak lipatan sejarah mengenai episod perubahan politikdan sosial yang berlaku di seluruh dunia sejak zaman-berzaman. Rasulullah SAW dibangkitkan dengan anak-anak muda yang berani menentang arus jahilliah serta sanggup berdada dan menyinsing lengan dengan penguasa yang zalim.

Madrasah Rasulullah SAW telah melahirkan ramai pemuda dakwah seperti Mus’ab bin Umair, Talhah bin Ubaidullah, Zubir al-Awwam, Abu Bakar as-Siddiq, Uthman bin Affan, serta Arqam bin Abi Arqam. Mereka adalah anak-anak muda yang terasuh dengan semangat yang kental oleh baginda Rasulullah SAW.

Kampus universiti ataupun apa sahaja institusi pendidikan adalah wadah paling ideal untuk mencanai pemikiran anak muda, mengasuh mereka menjadi pemimpin dan menuang idea-idea besar dalam minda mereka, yang mendidih dengan semangat untuk mengubah masyarakat. Julat umur awal 20-an adalah takat umur yang sedang mengisar dengan pantas ilmu dan maklumat.

Sejarah dunia ini dilakarkan warnanya oleh anak-anak muda kerana mereka mempunyai kekuatan semangat, cita-cita, keazaman dan idealisme untuk merubah dan menjadi agen perubahan. Di zaman imperialisme Barat, anak-anak muda bangkit menentang penjajah di seluruh belahan dunia. Jose Rizal yang mengungkapkan idealismenya lewat karyanya Noli Me Tangere (1887) dan El Filibusterismo (1891) adalah ikon perjuangan menentang penjajah di Filipina sehingga membawa kepada pembunuhan beliau secara tragis. Seterusnya huk balahap dan gerakan katipunan terus menggempur penjajah malah gerakan mahasiswa di Filipina terus bernyawa di zaman Marcos sehingga regim Marcos berantakan lewat demonstrasi anak-anak kampus di jalan raya-jalan raya di Manila.

Kempen_pilihanraya_Persatuan_Mahasiswa_Universiti_Malaya_PMUM_masa_Pilihanraya_Umum_Ke-3_bulan_Mei_1969Medan kampus juga adalah ruang terbaik untuk menebar kepedulian dan menyemai benih idealisme. Sheikh Muhamad Abduh mengembangkan idea-idea Pan Islamisme dengan dilatari oleh Universiti al-Azhar sehingga beliau dipecat dari universiti Islam paling berprestij itu akibat kekuatan idea Pan Islamisme yang mengancam hegemoni Barat yang sedang menguasai Mesir Barat.

Hassan al-Banna (1906-1949) juga adalah seorang anak muda ketika menubuhkan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah, Mesir pada tahun 1928 sehingga gerakan ini menjadi sangat fenomenal pada abad ke-20. Almarhum yang merupakan lulusan Darul Ulum telah memindahkan markas operasi Ikhwanul Muslimin ke Kaherah pada tahun 1933 kerana mempertimbangkan penyebaran pengaruh Ikhwanul Muslimin kepada pelajar-pelajar al-Azhar yang datang dari segenap penjuru dan belahan dunia. Ternyata eksperimen ini membuahkan hasil apabila pelajar-pelajar yang mendapat fikrah Ikhwan telah menyebarkan idea-idea perjuangan Ikhwan ke negara asal masing-masing.

Kampus al-Azhar yang mulia akhirnya membawa pulang fikrah Ikhwan ke pelbagai negara; Sheikh Muhammad Mahmud Sawwaf ke Iraq, Dr. Mustapha Bugha ke Syria, Dr. Zulkifli ke Tanah Melayu dan sebagainya. Dari kampus negara masing-masing pula fikrah itu tersebar luas, ia adalah ajakan untuk kembali mendaulatkan Islam sebagai sistem kehidupan.

Di jalan sutera yang sentiasa bergolak, anak-anak kampus turut melakarkan sejarahnya yang gemilang. Di negara China, tokoh-tokoh kampus seperti Mao Tze Tung, Li Ta Chao, Chen Tu Shiu adalah penggerak kepada Peristiwa 4 Mei 1919 yang akhirnya berjaya meledakkan kebangkitan Komunisme sehingga tertegaknya Republik Rakyat Komunis pada tahun 1949 di China. Ironinya doktrin komunisme yang menafikan fitrah akhirnya memunculkan wajah-wajah hodoh, maka anak-anak kampus juga bangkit menolak penguasa tirani dengan kemuncaknya berlaku tragedi berdarah Tianmen 1990. Sistem kuku besi komunisme juga diterjah anak kampus pemberani, sehingga ada yang maut digilis kereta kebal tentera. Simpati rakyat mencurah-curah terhadap perjuangan anak kampus yang ikhlas untuk nusa. China moden berubah kerana darah dan keringat mahasiswa yang tumpah di jalan raya.

Sejarah juga telah mencatatkan Revolusi Bolshevik 1917 di Rusia telah digerakkan oleh anak-anak muda kampus yang telah diindoktrinkan dengan fahaman komunisme, Tzar Nicholas dan kelas Borgouis akhirnya menggelongsor dari sangkar merak kayangannya. Tenaga anak muda telah melakar lanskap baru wajah negara adijagat komunis itu. Anak kampus meriuhkan tema kebebasan di Moscow sehingga merebak dengan pantas di negara beruang merah itu sehingga negara itu semakin dijengah ekonomi pasaran bebas.

Negara paling ramai Muslim di peta dunia tidak berkecuali dalam melihat aksi anak muda memprotes regim dan menebar kepedulian. Indonesia yang sarat penduduk itu, anak-anak kampusnya telah melatari perjuangan menentang imperialis Belanda sama ada yang berpendidikan Islam ataupun sekular. Raden Anjeng Kartini dengan gerakan sosialnya sangat muda ketika meninggal dunia, Omar Said Chokroaminoto pula anak muda intelektual yang mengasaskan Sarekat Islam yang dianggotai oleh ribuan anak-anak muda, sebuah gerakan tersohor di negara kepulauan itu pada awal abad ke-20 sehinggalah diresapi oleh unsur komunis (Sarekat Islam Merah) yang membaham struktur parti Islam itu dengan tindakan keras daripad penjajah Belanda.

mahasiswa_demonstrasiSarekat Islam telah memberikan saham yang besar kepada bangsa Indonesia, bahkan dilihat gerakan Islam yang lebih awal ditubuhkan berbanding Ikhwanul Muslimin. Dalam sejarahnya, kader-kader Sarekat Islam banyak mengerakkan organisasi Islam lain setelah berantakan dipukul penjajah Belanda.

Anak kampus adalah hero kebangkitan rakyat Indonesia. Soekarno adalah pemimpin mahasiswa dinamis yan dikeluarkan dari Kolej Teknologi Bandung. Pidatonya yang memukau telah membangkitkan semangat anak-anak muda untuk berjuang dan berkorban di bawah panji ‘sang saka merah putih’. Juga anak muda seperti Bung Tomo dengan pidato seperti halilintar yang membakar semangat yang dingin.

Dr. Natsir antara anak kampus yang paling menonjol dalam perjuangan aliran Islam, bahkan nama cendekia Islam ini setaraf tokoh-tokoh pentas antarabangsa. Dr. Natsir pernah memimpin perang Revolusi 1945 sehingga membawa kepada kemerdekaan Indonesia. Beliau juga berperanan membangkitkan peranan angkatan muda dalam Majlis Syura Muslimin (MASHYUMI) yang meniupkan semangat jihad kepada anak-anak muda untuk menentang penjajah dan menegakkan syariat Islam di Indonesia.

Langit sejarah Indonesia terus dipahat dengan citra anak muda yang rusuh dan berani menyanggah. Pada tahun 1965 ketika Soekarno digulingkan oleh Jeneral Suharto, anak muda kampuslah yang menggerakkan kesedaran politik rakyat sehingga kebobrokan pemerintahan regim Suharto berjaya digulingkan.

Sekali lagi anak-anak kampus daripada jalur ideologi yang pelbagai telah merentap kekuasaan Suharto pada era reformasi 1998 (kumpulan daripada aliran sosialis seperti FORKOT dan KAMMI daripada aliran dakwah). Sehingga kini kampus-kampus universiti di Indonesia terus memunculkan kesedaran kepada rakyat tentang hak-hak mereka, bersama denyut nadi rakyat dalam pelbagai isu. Indonesia sentiasa hangat dengan anak-anak pemberani dalam menyuarakan pelbagai isu.

Dunia yang sentiasa berputar ini memerlukan anak-anak muda yang menjulang kebenaran, berani menentang kezaliman regim, pentaksub ilmu dan bahan bacaan serta mengikat diri dengan perjuangan Islam. Sejarah negara ini juga sarat dengan perjuangan gigih anak muda, sehingga ramai mereka dihumban ke dalam tahanan ISA dalam dekad 70an dan 80an. Regim berusaha mematikan idealime dan nurani anak muda dengan membius budaya hiburan melampau dan mewujudkan pelbagai kekangan supaya anak muda negara ini menjadi tak peduli dan tersangkar dalam undang-undang drakonian.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, penulis dan pendakwah)