Oleh : Raimi AR
KUALA NERUS- Penerimaan bukan Islam terhadap Undang-undang Syariah termasuk perlaksanaan hukum Hudud dan Qisas adalah sangat baik.
Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu Dr Bala Chandran GK berkata, kajian yang dibuat menunjukkan, kaum Hindu menerima hukum Islam kerana prinsip keadilan yang ditawarkan.
Namun begitu, beliau merasa hairan, mengapa ada di kalangan orang-orang Islam yang tidak menerima perlaksanaan syariah.
“Hukum yang ada dalam kitab hindu juga mahu memberikan keadilan kepada semua manusia sama seperti hukum hudud, dan sebab itu saya tidak faham mengapa orang islam menolak hukum agama Islam itu sendiri” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selaku ahli panel pada Forum Perdana bertajuk Syariah Islam Rahmat untuk Semua yang dianjurkan oleh Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Terengganu (YAKEPT) di Masjid Tok Jiring dekat sini semalam, 6 September.
Turut membentangkan beberapa kajian mereka mengenai perlaksanaan Islam di Malaysia adalah Exco Kerajaan Kelantan, Dato’ Dr Fadzli Hassan dan Peguam Syarie Pulau Pinang, Dr Ahmad Jailani Abdul Ghani.
Seramai 500 hadirin berhimpun bagi mendengar kupasan tajuk daripada ahli panel mengikut bidang masing-masing selain membawa isu semasa yang berlaku dalam negara yang melibatkan undang-undang.
Program selama dua jam tersebut adalah merupakan salah satu komponen program Seminar Syariah Islam yang dianjurkan tersebut pada sebelah paginya, dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Mengulas lanjut, Dr Bala berkata, usaha penerangan mesti diteruskan dan perlu dilakukan secara berhati-hati kerana penyampaian mesti dibuat dengan jelas bagi mengelakkan kekeliruan.
Beliau berazam untuk meneruskan usaha menyedarkan masyarakat Malaysia dan tidak akan berhenti sehingga syariah ditegakkan.
“halangan adalah satu perkara biasa namun itu semua tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengkaji dan menyampaikan mesej keagamaan dalam memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam tentang hukum hudud yang akan dilaksanakan oleh PAS,”tegasnya