Oleh: Dr Azman Ibrahim
Khabarnya kakitangan TNB bakal terima durian runtuh. Saya hanya mampu mengucapkan tahniah atas rezeki yang bakal mereka terima. Mereka juga warga dan rakyat seperti kita, punya tanggungan dan beban kewangan. Mereka juga bekerja untuk memberikan khidmat kepada majikan dan negara. Mungkin ada perkiraan tertentu yang mewajarkan anugerah bonus ini diberikan kepada mereka. Semoga dengan bonus yang dikira agak besar ini, kakitangan TNB akan melipat gandakan lagi kecemerlangan hasil kerja.
Kenaikan tarif lektrik yang bakal dinikmati kita bermula tahun hadapan bukan salah kakitangan TNB. Mereka adalah pekerja, bukannya pembuat dasar dan polisi. Yang menentukan dasar dan polisi sesebuah GLC seperti TNB adalah kerajaan yang memerintah. Kenaikan tarif elektrik bukannya ditentukan oleh CEO TNB, tetapi ditentukan oleh kerajaan BN setelah dibincangkan dalam Kabinet dan diumumkan oleh menteri yang bertanggungjawab.
Saya tidak mempertikaikan kakitangan yang cuma bekerja mematuhi arahan majikan apatah lagi untuk memandang serong terhadap mereka. Sebahagian dari mereka bukannya orang lain, sanak saudara kita juga. Bila tarif lektrik naik, kakitangan TNB pun turut bayar bil lektrik seperti kita. Yang tak perlu bayar bil lektrik sendiri adalah PM, Timbalan PM dan bapak Menteri. Sebab itu mereka boleh umumkan kenaikan tarif lektrik tanpa ada kerut kesal di wajah. Mereka tidak menanggung beban sebagaimana yang ditanggung rakyat.
Sebagai indikatornya, bila sesebuah syarikat itu mampu memberikan bonus untuk kakitangannya bermakna prestasi syarikat tersebut mencatatkan keuntungan. Kalau laporan kewangan sesebuah syarikat mencatatkan kerugian, bukan setakat bonus tak diberikan malah kadang-kadang staf pun boleh dibuang untuk mengurangkan kos operasi. TNB adalah antara syarikat GLC yang setiap tahun mengumumkan jumlah keuntungan yang diperolehi. Rasanya kita tak pernah dengar laporan kewangan TNB mencatatkan kerugian. Syabas atas prestasi baik tersebut.
Alangkah baiknya sekiranya keuntungan TNB yang berjumlah ratusan juta ringgit ini mampu dikongsi dengan semua rakyat. Tentunya rakyat tak minta bonus samada 5 bulan, 4 bulan, 3 bulan, 2 bulan ataupun setengah bulan bonus. Cukuplah sekadar tarif lektrik tak dinaikkan kalau sekalipun ianya tak diturunkan. Ianya sudah cukup mengembirakan kami rakyat bawahan. Kalau dinaikkan sekalipun, kami tetap akan guna bekalan lektrik dari TNB. Mustahil kami akan beralih menggunakan generator. Itulah ibaratnya nasib rakyat marhaen bagaikan mentimun dengan durian.






























