Al-Quran Dan Ramadan

191

Oleh : Ustaz Marzuk Shaary

Hari ini sudah masuk 16 Ramadan, sahabat-sahabat semua sudah tadarrus Juzuk Al-Quran yang ke berapa? Tahniah saya ucapkan kepada yang sudah berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran.

Jika ada yang masih perlahan perjalanan Al-Qurannya, tidak mengapa. Masih ada masa untuk kita merebut peluang yang terhidang dengan baki separuh lagi bulan Ramadan yang tinggal.

Ramadan adalah bulan yang padanya diturunkannya al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Ketika di bulan Ramadan, Rasulullah SAW bertadarus membaca al-Quran dengan Malaikat Jibril AS seperti yang diriwayatkan oleh Puteri Baginda SAW Fatimah RAnha:

أنّ جبريل عليه السلام كان يعارضه القرآن كل عام مرةً وأنّه عارضه في عام وفاته مرتين

Maksudnya: Sesungguhnya Jibril AS menyemak al-Quran yang dibacakan Rasulullah sekali pada setiap tahunnya, dan pada tahun wafat Baginda, Jibril menyemaknya dua kali. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Contohilah Salafusoleh dalam mereka menelusuri bulan Ramadan. Imam Malik RH apabila tibanya bulan Ramadan beliau akan meninggalkan pelajaran hadisnya untuk memfokuskan kepada bacaan al-Quran.

Begitu juga dengan Sufiyyan atthauri akan meninggalkan amalan yang lain untuk menumpukan kepada pembacaan al-Quran. Imam as-Syafie RH akan mengkhatamkan bacaan al-Quran sebanyak 60 kali sepanjang bulan yang mulia ini.

Waki’ bin al-Jarrah akan mengkhatamkan bacaan pada setiap malam manakala Imam al-Bukhari mengkhatamkan bacaan pada setiap hari bulan Ramadan.

Dengan membaca al-Quran jiwa akan menjadi tenang serta ganjaran yang berlipat kali ganda telah dijanjikan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

من قرأ حرفا من كتاب الله فله به حسنة، والحسنة بعشر أمثالها، لا أقول: ألم حرف؛ ولكن ألف حرف , ولام حرف، وميم حرف.

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf” (HR Tirmizi)

Marilah kita berfikir sejenak, satu huruf al-Quran diganjarkan dengan sepuluh kebaikan. Cuba kita renungkan seandainya kita telah berjaya membaca keseluruhan al-Quran.

Berapa banyak kebaikan yang telah kita perolehi. Terlalu mudah untuk melaksanakan kebaikan. Rahmat Allah SWT meliputi segalanya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita untuk mengikuti jalan kebaikan. Marilah kita memohon kepadaNya agar al-Quran dijadikan sebagai penyejuk hati kita, cahaya di dada kita, penghibur di kala kesedihan dan mengusir segala keluh-kesah yang kita hadapi.