

KUALA TERENGGANU – PAS terus menganggap krisis dalaman kepimpinan UMNO di negeri ini masih berlaku biarpun kenyataan rasmi telah dibuat Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berhubung kemelut itu telah pun selesai.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Terengganu, Hj Hanafiah Mat berkata, beliau mendengar sendiri daripada peringkat akar umbi bahawa perkara itu belum selesai, malah sebahagiannya masih lagi mengkritik kepimpinan Umno di bawah Ahmad.
Katanya, perbalahan dalam kalangan pemimpin Umno tidak akan selesai dan mendakwa hanya pilihan raya akan menentukan perkara tersebut.
“Pilihan raya ini akan menentukan wujud atau tidak kumpulan A dan kumpulan B. Kita tengok calon yang ditentukan nanti berada di kumpulan mana,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan, Umno kini berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang ke-13.
Menurutnya, parti itu kini tidak mempunyai banyak masalah kerana boleh dikatakan semuanya sudah selesai melalui perbincangan dan rundingan dan bersedia melakukan yang terbaik.
Hanafiah berkata, ahli Umno yang menyokong pemimpin lain dan tidak sebulu dengan Ahmad yang juga Menteri Besar itu juga dilihat tidak berpuas hati dengan kenyataan sedemikian.
“Kita ada juga duduk semeja dengan kumpulan yang tidak menyokong beliau, macam-macam yang kita dengar tetapi kita hanya mendengar sahaja,” katanya.
Hanafiah menjelaskan, kenyataan pemimpin tersebut dianggap bersifat politik untuk meredakan suasana dan menambahkan keyakinan rakyat terhadap kekuatan dan perpaduan Umno di negeri ini.
“Semasa saya berada di Dungun, saya mendengar perkara yang tidak menunjukkan penyelesaian, begitu juga ketika berada bersama peringkat akar umbi di Kemaman, dada yang merungut hal sama” katanya.




























