Saya membaca tulisan Prof Dr Mohammad Agus Yusoff yang mengkritik beberapa isu berkaitan pentadbiran kerajaan Kelantan menjelang 100 hari selepas PRU13 yang lepas.
Nampaknya Kelantan terus menjadi perhatian ahli-ahli akademik tambahan pula Agus sendiri merupakan anak Kelantan. Ia tentu lebih istimewa berbanding Johor, Perlis dan Melaka yang turut bertukar ketua kerajaan sekalipun masih mengekalkan parti yang sama sebagai pemerintah.


1. Dalam soal pembinaan lebuhraya, Dr Agus menulis bahawa tidak ada sebarang pengumuman rasmi berkenaan pembinaan lebuhraya tersebut. Saya kira ini agak terasar kerana pada 4 Ogos yang lepas sudah disiarkan kenyataan Anggota Exco kerajaan negeri, YB Haji Hanifa Ahmad di dalam laman harakahdaily yang menyebut bahawa kerajaan negeri telah melantik konsultan baru pada 26 Julai lalu bagi menyediakan kertas cadangan projek berkenaan. Langkah itu dibuat memandangkan konsultan sebelum ini mengundur diri. Syarikat tersebut iaitu Syarikat Ecobound Sdn Bhd dengan kerjasama Emirates House Group merupakan sebuah syarikat berpangkalan di Abu Dhabi dan sekarang sedang menyiapkan cadangan lengkap projek tersebut. Mereka diberikan tempoh tiga bulan bagi menyediakan kertas cadangan projek secara menyeluruh untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri. Justeru, jika dikatakan langsung tiada perkembangan, saya kira agak kurang adil di pihak Dr Agus untuk menyatakan demikian. Kenyataan Exco Kelantan tersebut boleh dilayari di sini : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/21243-syarikat-abu-dhabi-minat-projek-lebuh-raya-rakyat
2. Secara sinis, Dr Agus menyebut bahawa satu-satunya pembaharuan yang dibuat oleh Kelantan ialah membenarkan qariah bertanding di dalam pertandingan tilawah. Kurang pasti apa maksud sebenar beliau menulis demikian, cuma suka ditegaskan bahawa polisi untuk membenarkan qairah kembali bertanding telah diputuskan oleh bekas Menteri Besar Kelantan sebelum ini. Dr Agus boleh melayari youtube dan menyaksikan sendiri kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 11 Jun 2012 : http://www.youtube.com/watch?v=Ub421TbagzM
3. Suka untuk saya nyatakan ada beberapa perkara yang telah diumumkan oleh YAB Ustaz Dato Menteri Besar Kelantan namun barangkali kerana tidak mendapat liputan besar-besaran oleh media, Dr Agus gagal untuk mengetahui tentangnya. Antaranya ialah polisi penempatan kakitangan yang mesra keluarga telah diumumkan oleh kerajaan Kelantan beberapa minggu lepas. Anda boleh layari laman sosial YAB Menteri Besar Kelantan dan melihat betapa banyaknya respon positif yang diterima daripada pembaca. Mereka bukan bukan doktor falsafah dan bukan pensyarah, namu mereka menghargai usaha yang dilakukan oleh Kelantan.
4. Demikian juga dengan penegasan YAB Ustaz dato Menteri Besar Kelantan selepas mesyuarat pertama exco kerajaan negeri yang menyebut bahawa agenda utama Kerajaan Kelantan selepas pilihanraya ini ialah menjadikan pembinaan rumah mampu milik sebagai misi yang perlu dicapai. Dr Agus boleh menyaksikan kenyataan tersebut di laman youtube di alamat : http://www.youtube.com/watch?v=W8vUII40PnY Saya menulis sebagai respon balas ini atas sifat saya sebagai anak Kelantan tidak mewakili sesiapa.
Saya mengucapkan syabas atas pandangan Dr Agus namun dalam masa yang sama, ada beberapa perkara yang memerlukan penjelasan. Pada saya, kritikan Dr Agus tanda beliau prihatin kepada Kelantan cuma lebih cantik jika beliau membuat kajian yang lebih mendalam di masa akan datang. Kepada barisan exco Kelantan, jika ada kebaikan dari tulisan Dr Agus ini, ambillah sebagai panduan kerana rakyat sedang memerhati.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.
Ahmad Fadhli Shaari
____________________________________________________________________________________________________________________
Kritikan dari Prof Agus;
Selepas 100 hari pilihan raya umum berlalu, saya perhatikan tidak ada keghairahan baru dalam politik Kelantan. Ini kerana kerajaan barunya sekadar meneruskan dasar lama sahaja. Kenapa begitu kering dan miskinnya idea kerajaan baru Kelantan ini? Adakah cukup sekadar menjadi kerajaan ‘punch card’ sahaja—masuk pejabat jam 8pagi dan balik jam 5ptg?
Persoalannya, jika sekadar meneruskan dasar lama sahaja, mengapa tidak meneruskan projek Lebuh Raya Rakyat? Mengapa diam sahaja dengan projek stadium? Teruskanlah sahaja dua projek lama tersebut kerana ia membawa manfaat untuk rakyat, khususnya Projek Lebuh Raya Rakyat. Kerajaan negeri perlu tahu bahawa rakyat yang tinggal di Kuala Lumpur sudah tidak tahan lagi memandu kereta sehingga 15 jam untuk sampai ke Kota Bharu semata-mata kerana jalannya sesak.
Projek ini nampaknya sudah macam tertangguh kerana tidak ada maklumat dan pengumuman baru mengenainya. Kontraktor utama juga sudah menarik diri kerana tidak ada jaminan daripada kerajaan negeri tentang pembayaran pelaksanaan projek ini.
Saya ingin katakan kepada kerajaan negeri, jika tidak ada duit untuk meneruskan projek ini, cari jalan penyelesaiannya. Sekiranya jalannya adalah dengan memohon bantuan dari kerajaan pusat, maka teruskan perundingan itu secepatnya. Yang penting projek ini perlu diteruskan dan diselesaikan. Ini kerana telah banyak kos awal pengambilan tanah dan lain-lain telah dibelanjakan dan wang rakyat pun telah dikutip.
Jika sekadar meneruskan dasar lama, mengapa juga diam terus dengan projek stadium? Memang projek stadium tidak sepenting projek Lebuh Raya Rakyat, tetapi pembinaannya boleh menjana ekonomi negeri. harga tanah berdekatan stadium akan melonjak, banyak rumah baru boleh dibina, kawasan padat di bandar boleh dikurangkan dan perniagaan baru boleh dibuka oleh rakyat.


Saya dikhabarkan oleh sumber yang boleh dipercayai bahawa isu air ini akan selesai pada akhir tahun ini. Semoganya! Maka, apa yang baharunya dengan dasar kerajaan sekarang? Satu yang dapat saya perhatikan ialah membenarkan wanita menyertai musabaqah Al-Quran. Lain-lain tidak ada. Jika betullah pemerhatian ini, saya kira ini amat malang bagi rakyat Kelantan yang mengharapkan kerajaan negeri lebih baik dari yang dahulunya.
Dari aspek lain, saya fikir ada beberapa pencapaian kerajaan negeri yang boleh direkodkan. Saya melihat pengurusan kerajaan tempatan, khususnya kebersihan bandar dan hubungan keajaan pusat-negeri adalah lebih baik dari kerajaan sebelum ini. Semoga hubungan tidak lagi tegang dan kerajaan pusat-negeri boleh saling bekerjasama dengan menghormati prinsip persekutuan.
Tapi soal tuntutan royalti minyak, itu perlu teruskan kerana ia hak Kelantan. Jika kerajaan pusat mempunyai tafsiran yang berbeza tentang hak Kelantan ini, uruskan hal ini di mahkamah untuk mendapatkan keputusan yang lebih autoritatif. Dengan kekurangan kerajaan Kelantan hari ini, maka apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri untuk membangunkan rakyatnya? Banyak hal baru yang boleh saya cadangkan.
Cuma dalam tulisan ringkas ini, saya mahu mencadangkan kerajaan negeri menghidupkan kembali program pertanian dan penternakan kambing Jamnapari yang tergendala. Projek kambing ini memang gagal, tapi ia merupakan projek baik untuk rakyat. Saya lihat di Kelantan sekarang ini jika ada majlis kenduri kendara, rakyat bercakap tentang kambing panggang dan nasi Arab.
Ini menunjukkan projek kambing ini ada sambutan rakyat, tetapi kerajaan negeri pula tidak menyambutnya. Exco Pertanian perlu mengambil perhatian tentang hal ini. Begitu juga dengan projek pertanian yang lain. Banyak yang boleh ditanam dan dikembangkan. Projek padi organik di Tunjong sudah tidak kedengaran lagi. Apapun kegagalan projek lepas, saya harap selepas ini kerajaan negeri dapat menjadikan Kelantan yang mempunyai tanah luas itu sebagai negeri yang mampu sara diri dari segi keselamatan makanan.
Kelantan dekat dengan Thailand, maka ambillah sedikit ‘bau’ dari kejayaan pertanian Thailand untuk dibawa ke Kelantan. Selepas dari Hari Raya ini, apabila pejabat dibuka semula, saya harap barisan Exco dapat kembali berbincang semula perancangan pembangunan Kelantan selepas 100 hari pemerintahannya. Kerajaan negeri tidak boleh hanya selesa dengan slogan mengekalkan tradisi kepimpinan lama.
Jika buat projek, rancanglah projek pembangunan itu untuk rakyat Kelantan, bukannya hanya untuk ahli parti PAS sahaja. Jadikan pengalaman projek Ladang Rakyat untuk merakyatkan pembangunan Kelantan, bukannya memPASkan pembangunan Kelantan. Berubahlah.
Jangan biarkan rakyat menjerit!
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin






























