Oleh; Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – Isu projek parkir kereta bertingkat yang menelan kos sebanyak RM9.8 juta dulu pernah mencetuskan kontroversi kini menjadi tanda tanya orang ramai sama ada ia masih boleh digunakan atau sebaliknya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Haji Wan Sukairi Wan Abdullah, beliau telah mendapat penjelasan bahawa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mendapat pengesahan daripada pihak forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa struktur mekanikal bangunan berkenaan berada dalam keadaan selamat.
“MBKT dalam masa yang sama turut menerima beberapa tawaran daripada syarikat-syarikat tertentu untuk kerja-kerja pembaikan seterusnya pengoperasian semula parkir bertingkat itu,” jelasnya.


Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui media di Wisma Darul Iman, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, proses penilaian masih dijalankan dan keputusan muktamad mengenai penyewaan serta pengendalian fasiliti tersebut dijangka akan dimuktamadkan dalam tahun ini.
Menurut maklumat terdahulu, Bangunan parkir automatik bertingkat jenis ‘rotary’ itu dibina di tapak bekas gelanggang tenis MBKT, Jalan Batas Baru.
Manakala projek bermula pada 9 Mei 2010 dan siap sepenuhnya pada Disember 2010, sebelum mula beroperasi secara rasmi pada 3 Februari 2011.
Tambahnya, pembinaan parking dengan kapasiti 240 petak kenderaan tersebut sebenarnya dapat mengurangkan kesesakan parkir di kawasan pusat bandar Kuala Terengganu, namun kini rosak dan gagal dimanfaatkan sepenuhnya.




























