KUALA TERENGGANU – Mercu tanda ikonik “Allah Peliharakan Terengganu” di Bukit Besar akan dibina semula dengan kos keseluruhan sebanyak RM5 juta, selepas struktur asal didapati mengalami kerosakan serius akibat pengaratan dan melepasi jangka hayat reka bentuk.
Penolong Setiausaha PAS Terengganu, YB Dato Haji Hanafiah Mat berkata,
kerja-kerja perobohan telah diselesaikan pada 13 Mei 2025 dengan kos RM250,000, manakala rekabentuk baharu telah dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
“Mesyuarat penyelarasan yang telah dibuat oleh pihak UPEN telah bersetuju dengan reka bentuk tersebut setelah mengambilkira kos penyelenggaran dan teknologi semasa yang lebih kos efektif,”jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar, berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dari ADUN Manir dalam Sidang DUN Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Ke-15, di Dewan Undangan Negeri, pada hari ini.
Menurutnya, laporan forensik JKR pada Ogos 2024 mendapati struktur asal mengalami kerosakan sangat kritikal pada komponen utama seperti sambungan, sendi dan kerangka, selain gagal dari aspek perlindungan keluli terhadap pengoksidaan akibat pendedahan kepada udara laut.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM800,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan dari tahun 2018 hingga 2024, namun terpaksa dihentikan selepas struktur didapati tidak lagi selamat untuk dibaiki.
“Setelah mencapai jangka hayat melebihi 30 tahun, mercu tanda ini dikatakan tidak melalui proses penyelenggaraan struktur berkala dan terdedah kepada faktor pengaratan kerana ruang udara lokasi terkesan faktor aliran udara air laut lepas.
“Struktur binaannya telah melebihi jangka hayat rekabentuk dan terhakis akibat kesan pengaratan yang ketara walaupun penyelenggaraan telah dibuat,” katanya.
Beliau menambah, reka bentuk baharu ini mengambil kira penggunaan teknologi yang lebih kos efektif dan keperluan penyelenggaraan jangka panjang.




























