Terengganu, Malaysia

Tabung Perumahan Rakyat (TPR) Pada 2020

Tabung Perumahan Rakyat (TPR) Pada 2020

Oleh : Aziz Hambali / Foto : Safwan Syakir

MARANG – Rakyat Terengganu bakal menikmati satu lagi ‘hadiah’ daripada kerajaan PAS Terengganu dengan terlaksananya Tabung Perumahan Rakyat (TPR) menjelang tahun 2020.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, YB Dr Hj Alias Razak berkata dana peruntukan bagi pelaksanaan TPR sudahpun diluluskan, tinggal sahaja kerajaan untuk jalankan perancangan tersebut pada tahun hadapan.

“Peruntukan TPR untuk tahun depan insyaAllah sudah kita usahakan, iaitu buat permulaan sebanyak RM20 juta.

“Hal ini demikian kerana, duit itu sebenarnya sudah ada tahun lepas tapi kita menghadapi sedikit masalah teknikal dan kita bagi jaminan tahun 2020, rakyat akan merasai TPR bagi yang layak,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar berkata demikian
ketika mengadakan sesi Dialog Pasca Bajet 2020 “Apa yang rakyat dapat?” di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), Kg Paya Marang, hari ini.

Dialog anjuran Majlis Tindakan DUN (MTD) Rhu Rendang itu dijalankan bagi menyebarluaskan lagi kesungguhan dan ketelusan kerajaan dalam agihan bajet kepada rakyat Terengganu mengikut kriteria kelayakan yang ditetapkan tanpa memilih bulu.

Beliau optimis bahawa TPR dapat membantu rakyat negeri ini untuk memiliki rumah sekurang-kurangnya yang ada 3 bilik dek lantaran kerana harga rumah terlampau tinggi jika dibandingkan pendapatan kebanyakan rakyat.

“Saya yakin dan percaya masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat kita akan dapat diatasi sebaiknya dengan tawaran TPR ini yang merupakan satu pembiayaan perumahan tanpa riba,” tambahnya.

Turut hadir dalam majlis dialog tersebut ialah Pegawai Majlis Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dengan kehadiran seramai 200 orang seluruhnya.

Kerajaan negeri dalam Belanjawan 2020 baru-baru ini memperuntukkan sebanyak RM29.5 juta untuk projek pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) untuk rakyat Terengganu.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan