Oleh : Aziz Hambali
HULU TERENGGANU – Usai termeterainya Muafakat Nasional, cabaran besar menanti Pemuda PAS sebagai agen perpaduan ummah dan juga duta Islam kepada rakyat Malaysia.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dalam kerangka masyarakat harmoni (al-ta’ayush al-silmi) perlu diadaptasi oleh para Pemuda PAS supaya menjadi qudwah kepada semua.
“Sesungguhnya jalan yang kita ambil ini adalah jalan untuk mengembalikan Pemerintahan Negara dan Dunia berpandukan Syariat Islam. Ini adalah jalan yang diwarisi dari perjuangan Rasullullah SAW dan para ulama,
“Pastinya kita tidak pernah rugi walaupun sedetik sekiranya kita ikhlas mengharap mardhatillahNya” katanya ketika berucap di Himpunan Pemuda Islam Negeri Terengganu (HIMPIT), semalam.
Menurutnya lagi, Piagam Muafakat Nasional adalah satu Agenda Perpaduan yang menjadi keutamaan PAS untuk memperjuangkannya.
Sementara itu, beliau turut menyuntik kata-kata khas buat pemuda PAS Terengganu agar tidak leka dan dibuai dengan kemenangan.
“Jangan anggap kamu sudah menang di Kelantan dan Terengganu kamu boleh bermegah. Islam ini harus diluaskan kemenangan bukan sekadar di dalam negara namun pelusuk dunia dan pendokongnya tidak lain ialah Pemuda PAS”, katanya.
HIMPIT yang merupakan acara tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) kali ini diadakan di Padang Memorial Batu Bersurat, Kg Buluh dan telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Hussain Awang.
Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) baru-baru ini menjadi tarikh penting terpahat dalam sejarah negara sehingga termeterai Piagam Muafakat Nasional antara dua parti terbesar Melayu iaitu PAS dan UMNO.











