Oleh : Adli Mohamad
KUALA NERUS – Allah memberi pengajaran kepada umat Melayu Islam di negara ini supaya mewujudkan perpaduan agar tidak timbul penghinaan kepada Islam dan pendakwahnya.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pelbagai masalah yang timbul di dalam negara pada hari ini adalah kerana parti melayu tidak menjadi pemerintah yang dominan.
Jelasnya, penyatuan antara parti pembangkang dan pemimpin di pantai timur merupakan takdir Allah yang mesti diambil peluang kepada wujudnya perpaduan.
“Sekarang ini sesuatu yang berlaku di hadapan kita bukan suatu perkara yang berlaku begitu sahaja tetapi sepatutnya diambil peluang dan pengajaran oleh semua pihak.
“Masa inilah untuk kita praktikal dan amalkan ayat Al-Qur’an (untuk bersatu) lupakan segala kesalahan kita (yang lalu) serta tingkatkan kesedaran,” jelasnya.
Beliau berkata demikian, ketika berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah Pantai Timur (HIMPUN), tiga Menteri Besar, di Stadium Tertutup Gong Badak pada 22 Ogos.
Katanya, tanpa perpaduan dan kerjasama, umat Islam tidak akan mendapat kejayaan terutama di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Perpaduan melayu Islam jelasnya lagi, merupakan jalan penyelesaian yang terbaik demi untuk meneruskan segala kesinambungan amalan di dalam ajaran Islam dan segala hal ehwal umat Islam yang mesti dipertahankan.











