Oleh : Nooreni Abu Bakar
KUALA TERENGGANU – Tema ucapan dasar Presiden, ‘Islam Memimpin Perpaduan’ menyerlahkan peranan Parti Islam Se Malaysia (PAS) sebagai sebuah parti politik yang matang dan berintergriti sejak penubuhannya pada tahun 1951.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, Zarani Othman berkata pemimpin dan ahli terus menerus di dalam perjuangan sehingga kini tidak berganjak.
“Dengan meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan parti dalam menghadapi apa saja rintangan dan cabaran mendatang,” ujarnya.
Ketua Muslimat Marang itu juga, berkata demikian ketika dihubungi di sini pada 23 Jun untuk diminta mengulas Ucapan Dasar Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke 65 yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan.
Sambil menyifatkannya sebagai mantap dan menyeluruh dengan menyentuh pelbagai sudut penguasaan dalaman bagi menguat dan membina keutuhan jamaah serta penguasaan luaran untuk melahirkan kesejahteraan negara.
“Dato’ Seri Presiden Pas menyentuh kewajipan membangun semula sistem pendidikan negara setelah kegagalan Pakatan Harapan
menyuntik ruh pegangan agama yang murni dalam berdepan dengan krisis moral yang sangat kritikal melanda negara sekarang,” sambungnya lagi.
Zarani juga mengalu-alukan beberapa cadangan yang dikemukakan untuk memperbaiki kedudukan ekonomi negara antaranya, memanfaatkan sumber alam dan pendapatan negara secara mampan supaya khazanah negara dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.
“Sekaligus merapatkan jurang kaya-miskin yang semakin melebar dengan membangunkan modal insan yang berkualiti dan berintegriti sebagai tunjang pembangunan negara yang terlatih dan berdaya saing,” jelas perwakilan daripada Marang itu.
Begitu juga, katanya, untuk pengukuhan dan keutuhan PAS, pengukuhan organisasi parti menjadi tugas terpenting dengan menjadikan Budaya Politik Matang dan Sejahtera bukan hanya slogan atau tulisan.
” Tetapi perlu dibudayakan secara berterusan dan konsisten oleh pemimpin dan ahli-ahli PAS,” katanya lagi.
Di samping itu, beritahunya, peranan media perlu diperkasakan dengan memastikan maklumat disampaikan dengan cepat dan tepat serta keberkesanannya diukur.
” Penambahan ahli PAS mesti diperhebatkan dengan pelbagai daya tarikan yang lebih kreatif dan
arahan mempersiapkan gerakerja ke arah PRU 15 perlu diambil serius,” beliau seterusnya mengingatkan.











