Sidang DUN; usul penyelewengan bantuan pakaian sekolah ditolak

1323

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi telah mengemukakan satu usul tergempar dalam Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini, Isnin 5 Disember.

Malangnya, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang menolak usul tergempar tersebut.

mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 berkaitan Program Bantuan Pakaian dan Alatan Sekolah bernilai RM28 juta kerana wujudnya unsur-unsur salah urus dan penyelewengan.

Dr Syed mencadangkan agar persidangan ditangguhkan mengikut Fasal 30 peraturan-peraturan dan perintah tetap, bagi membolehkan dewan membincangkan Laporan Ketua Audit Negara 2010 berkaitan Program Bantuan Pakaian dan Alatan Sekolah bernilai RM28 juta kerana wujud unsur salah urus dan penyelewengan.

Menurutnya, pada 30 November 2008 Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said bersetuju meluluskan permohonan membekalkan pakaian seragam sekolah bagi seluruh negeri kepada Syarikat Hamie Enterprise dengan jenama “Ganu Kita”.

Katanya, projek yang bernilai hampir RM10 juta setiap tahun itu juga telah mendapat kebenaran MB agar dikecualikan daripada prose tender dengan harga RM150 satu set.

Menurutnya, pakaian sekolah tersebut diagihkan kepada 53,300 pelajar Sekolah Rendah yang telah dikenalpasti oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

“Program bantuan (pakaian) ini berterusan selama tiga tahun dengan jumlah keseluruhan RM28.47 juta yang telah dibelanjakan kepada 282,966 pelajar di seluruh negeri Terengganu dari tahun 2008-2010,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentang usul tergempar pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-12, di Wisma Darul Iman, dekat sini, 5 Disember lalu.

Namun begitu, kata Dr Syed Azman laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) telah membongkarkan suatu laporan yang mengejutkan serta memalukan.

Menurutnya, laporan tersebut mendedahkan bahawa semakan audit mendapati proses rundingan harga kontrak terbabit tidak memenuhi garis panduan ditetapkan.

Malah, katanya dan tidak ada kontrak formal ditandatangani antara kerajaan negeri dengan pembekal pakaian dan alatan sekolah untuk tahun 2008 hingga 2010.

“Laporan audit juga telah mengenalpasti sekurang-kurangnya enam teguran dan kesilapan asas dalam mengendalikan projek ini.

“Pertama, kajian pasaran tidak dijalankan. Kedua, bon pelaksanaan tidak dikeluarkan. Ketiga, pemeriksaan terhadap barangan yang diterima tidak dijalanakan. Keempat, kelewatan agihan. Kelima, bantuan tidak diagih kesemua daerah dan keenam, keluarga yang menerima bantuan tidak memenuhi syarat,” jelasnya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu tahun 1999 mendedahkan yang lebih menakjubkan hasil tinjauan audit pada 3 November 2010 di beberapa buah kedai sekitar daerah Kuala Terengganu mendapati harga pakaian adalah lebih rendah dari yang ditawarkan.

Menurutnya, harga di pasaran RM26.70 dan RM76.50 berbanding harga pembekal antara RM73.50 hingga RM123.30.

Ini bermakna, katanya kerajaan negeri dapat berjimat sebanyak RM1.42 juta pada kadar yang jauh lebih rendah.

“Persoalan besar yang timbul, bagaimanakah projek yang diurus-selia oleh Pejabat Menteri Besar sendiri boleh berlaku salah-urus dan kebocoran yang amat ketara.

“Siapakah yang perlu bertanggungjawab dalam Pelanggaran Peraturan Perolehan Kerajaan ini.

“Dan siapakah yang mendapat keuntungan laba yang besar dengan memeras jerih susah rakyat miskin di seluruh negeri Terengganu ini,” soalnya.

Menurut beliau berpandangan bahawa usul tersebut melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai dan perlu disegerakan.

Sementara itu, Dato’ Tengku Putera memperakui usul yang dibawa oleh Adun Batu Buruk tersebut mengenai perkara tertentu dan berkepentingan ramai tetapi tidak perlu disegerakan.

Beliau hanya boleh bersetuju jika perkara tersebut dibahaskan dalam perbahasan Bajet 2012 yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar Terengganu.

“Saya menerima usul di bawah fasal 30 daripada wakil Batu Buruk (Dr Syed Azman) sebagaimana yang dibaca sebentar tadi.

“Pada hemat saya, usul ini memanglah tertentu, juga berkepentingan ke atas orang ramai tetapi saya membuat keputusan ianya tidak perlu disegerakan dengan menambah masa persidangan, kerana kita (dewan) telah menyusun persidangan ini.

“Insya’Allah, Yang Berhormat boleh guna dalam perbahasan, peruntukan perbekalan (Bajet 2012). Saya akan beri dan silalah gunakan untuk perbahasan sebagaimana yang dinyatakan. Jadi saya menolak untuk disegerakan atau untuk diterima usul ini,” ujarnya.

Persidangan Dun Terengganu kali ini menyaksikan pembentangan Belanjawan 2012 (Bajet 2012) bagi negeri Terengganu yang berlangsung selama empat hari bermula 5 hingga 8 Disember 2011.