SMS ugut ‘bunuh’ – Bekas Setiausaha Politik MB di penjara 12 bulan

910

KUALA TERENGGANU – Hampir tiga tahun lalu, tiga Adun BN iaitu Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah, Abd Halim Jusoh (Permaisuri), Dato’ Rosol Wahid (Ajil) telah menerima SMS berunsur ugutan bunuh serta ancaman terhadap nyawa masing-masing.

SMS tersebut mendesak agar membatalkan niat oleh mana-mana Adun BN yang berhasrat membawa usul “undi tidak percaya” terhadap MB Terengganu sepanjang sidang Dun Terengganu berlangsung.

“Baik jangan teruskan niat YB. YB tak sayang nyawa?,”tegas ‘kata-kata’ yang diungkapkan mesej SMS tersebut sebagaimana ditunjukkan sendiri oleh Dato’ Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir kepada pihak media.

Justeru, Adun-adun berkenaan merasakan bahawa nyawa ‘terancam’ kerana sering kali berulang-alik sebagai wakil rakyat yang melawat kawasan.

Ketika itu, mereka mendakwa individu yang terlibat secara langsung mengirim SMS tersebut merupakan kenalan rapat Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said sendiri yang berjawatan pegawai tinggi kerajaan negeri.

[Gambar – Dato’ Dr. Ramzi ketika menunjukkan kandungan SMS tersebut kepada pihak media di dalam kawasan Balai Polis Kuala Terengganu]

Namun begitu, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Isnin 28 November, telah memutusakan hukuman penjara selama 12 bulan kepada Dato’ Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Terenganu, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Tertuduh, Dato’ Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir didapati bersalah oleh Hakim Mahkamah Sesyen, M Bakri Abd Majid kerana menghantar “ugutan bunuh” melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN).

Selain itu, SMS fitnah turut dilakukan terhadap bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda di E726, Kampung Kubang Parit antara jam 11.21 malam dan 11.25 malam, pada 13 April 2009.

Hukuman tersebut dijatuhkan setelah pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan itu.

Dr Ramzi dikenakan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap kesalahan mengugut tiga orang wakil rakyat BN iaitu Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah, Abd Halim Jusoh (Permaisuri), Dato’ Rosol Wahid (Ajil) serta mengfitnah Dato’ Wan Ahamad Wan Muda dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik bekas Setiausaha Sulit MB tersebut.

Bagaimana pun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman tersebut sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi dan Dr Ramzi diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua orang penjaminnya.

Hakim Mahkamah Sesyen, M Bakri Abd Majid berkata mahkamah perlu mengikuti perkembangan semasa sejajar dengan perkembangan dunia tanpa sempadan.

Katanya, perbuatan jenayah juga berubah mengikut keadaan termasuk menggunakan medium baru seperti internet.

“Kecederaan reputasi atau harga diri, tidak kurang pedihnya dengan kecederaan fizikal. Oleh itu, hukuman perlu dijatuhkan seiring dengan perkembangan ini,” tegasnya.

Tertuduh diwakili peguamnya, Dato’ Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Jazamuddin Ahmad Nawawi, Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami.

Pihak pembelaan dalam rayuannya berpendapat ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan tidak melibatkan keganasan serta tidak memberi kesan kecederaan kepada mana-mana pihak.

Namun begitu, pihak pendakwaan pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan meminta setiap hukuman dijalankan berasingan.

Hujahnya, Mohd Jazamuddin menegaskan meski pun  perbuatan tertuduh tidak mendatangkan kecederaan fizikal, tetapi telah menjatuhkan reputasi Wan Ahamad, sekaligus menjejaskan reputasi kerajaan di bawah kepimpinan MB Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

Justeru itu, mahkamah berkenaan telah memerintahkan kesemua hukuman tersebut dijalankan secara berasingan.