Oleh : Adli Mohamad.
DUNGUN – Kelewatan pembinaan Hospital baru Daerah ini yang dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia adalah kerana masalah pada peringkat awal projek tersebut dan peralihan kerajaan pusat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS, Dr Mamad Puteh berkata, ia berpunca daripada kerja-kerja penimbunan tanah yang telah diberikan kontrak kepada syarikat yang dilantik dan juga peralihan kerajaan persekutuan apabila PH menang dalam pilihan raya umum lalu.
“Jadi masa peralihan kuasa inilah berlaku sedikit kelewatan yang seharusnya mereka pertimbangkan untuk diberi tempoh.
“Keduanya berkaitan dengan peruntukkan yang mana ada sedikit kelewatan di tahun lepas, ” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau berkata demikian, semasa sidang media, ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai perkembangan terkini hospital itu.

Pada program lawatan kerja beliau itu hari Isnin 25 Mac, Dr Mamad berkata, peralihan kuasa di peringkat pusat juga turut memberi kesan kepada beberapa projek lain.
“Ketiganya berkaitan dengan tenaga kerja, kita telah dimaklumkan bahawa sedikit masalah berkaitan dengan tenaga kerja tapi telah dapat diselesaikan,” ujarnya.
Menurutnya dengan tempoh baru yang diberikan ianya mampu disiapkan sedikit masa lagi yang mana ianya dijangka siap pada ogos.
“Dan sekiranya ada apa-apa hal yang lain mungkin dipanjangkan kepada Februari tahun 2020,”ujarnya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana telah memberi peruntukkan yanh sewajarnya untuk membangunkan Daerah Dungun dengan membangunkan hospital yang baru.
” Hospital lama yang kita tahu bahawa masalahnya yang agak lama berkaitan dengan banjir dan (alami) kesesakan di sana dan memang seharusnya dan sepatutnya kita ada hospital baru di Dungun ini,” ujarnya.
Menurut beliau, hospital berkenaan yang dibina dengan belanja RM118 juta itu akan dilengkapi dengan 110 katil, dimaklumkan telah 70 peratus siap.
Justeru itu, katanya, hospital lama akan tetap berfungsi, walaupun hospital baru telah pun siap pada suatu masa yang dijanjikan kelak.
Menurut kenyataan rasmi Jabatan Kerja Raya (JKR) 20 Februari 2018, kemajuan Fizikal Projek telah mencapai kemajuan sebanyak 38.2% peratus dan jangkaan siap semasa projek ini masih sama dengan tarikh siap asal pada 22 Feb 2019.











