Oleh: Hidayah Azlin
SETIU – Seramai 40 orang Ameerah, Nusaibah dan Briged Muslimat turun berkhidmat membantu kelancaran Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Muslimat Setiu.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu, Wan Ramlah Wan Abd Rahman berkata Gen3 merupakan satu entiti Dewan Muslimat yang berperanan penting dalam organisasi PAS.
“Kejayaan yang ketara dapat dilihat terutama ketika menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) 14 lalu. Dalam kesibukan dengan aktiviti harian, namun masing-masing dapat menjalankan tugasan yang diberi dengan baik.
“Alhamdulillah.. hari ini kita melihat prestasi yang ditunjukkan semakin baik. Kita mengharapkan Gen3 akan bergerak dengan lebih baik dan terus berdaya saing dengan kawasan lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi, memberikan respons sempena Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 36 Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu di Dewan Serbaguna Maras, Batu Rakit, semalam.
Menurut Ketua Briged Setiu, Nurul Hidayah berkata, pemantapan ahli briged terus ditingkatan dari masa ke semasa samada dari segi ilmu, kemahiran dan ilmu pertahanan diri.
“Untuk menjadi seorang anggota yang berkualiti, penguasaan ilmu dan kemahiran amat penting bukan hanya pandai menjaga pintu semata-mata.
Katanya, Briged Muslimat itu terdiri daripada tiga Kor utama iaitu Kor Rufaidah (Medic), Kor Safiyyah (Keamanan) dan Kor Khaulah Al-Azwar (Rider).
“Saya berharap Briged Setiu terus berdaya saing meningkatkan mutu diri agar bermanfaat untuk ummah di masa depan. Ingat, jangan pernah selesa bila berada dibelakang orang,”tambahnya.











