Oleh : Aziz Hambali
KEMAMAN – Pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) di semua peringkat diingatkan agar mengoptimakan momentum di dalam gerakkerja untuk mengisi dan seterusnya mengekalkan kemenangan.
Sehubungan dengan itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali berharap program-program parti dalam bentuk ceramah, penerangan, dialog, sama ada yang melibatkan media sosial dan seumpamanya mesti diperkasakan.
“Program-program tarbiyah walaupun sibuk macam mana pun kita sebagai kerajaan, soal tarbiyah merupakan perkara yang paling asas yang perlu kita lipatgandakan,” ujar beliau.
“Bercakap soal pembinaan tamadun, kemusnahan tamadun, kejatuhan kerajaan ialah apabila berlakunya kelemahan dari segi tarbiyah dalam kalangan mereka yang mendokong kerajaan pada waktu itu,” ujarnya.


Beliau juga mengharapkan dalam suasana sudah menjadi kerajaan ini, parti sepatutnya menjadi lebih kuat dan tidak boleh terlalu bergantung seratus peratus kepada program-program dan aktiviti-aktiviti kerajaan.
” Retreat kita pada kali ini seharusnya dapat sampai kepada konklusi bahawa kita kena bekerja lebih kuat daripada sewaktu kita menang pada Pilihan Raya (PRU) 14 baru-baru ini,” tegas beliau.
Program melibatkan lebih 80 peserta itu, adalah terdiri daripada petugas-petugas parti seluruh kawasan Marang dan ianya berlangsung selama dua hari satu malam.




























