Oleh : Adli Mohamad.
DUNGUN – Diantara perkara baru yang dimajukan PAS setelah menang dan mengambil alih pemerintahan Terengganu ialah menganjurkan pasar malam di Kampung Tepus, Hulu Dungun, untuk kemudahan rakyat setempat.
Ketua Cawangan PAS Kampung tersebut, Mat Zaid Abdullah berkata, ia telah pun beroperasi setiap Jumaat, sejak tiga minggu lalu.
“Sambutan makin meningkat dari minggu ke minggu. Ini adalah satu platform yang diharapkan agar ianya mampu menjana ekonomi penduduk setempat.
“Dan boleh menjadi satu daya tarikan kepada orang luar untuk merasai kelainan. Diantara kelainannya ialah ikan sungai dan sayur-sayuran, merupakan produk segar yang merupakan hasil perolehan penduduk di sini,” jelasnya, ketika dihubungi pada Jumaat, 14 Disember.


Menurutnya kewujudan pasar itu adalah hasil pemuafakatan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tepus dan keprihatinan Pengarah MTD Bukit Besi yang juga Peyelaras DUN, Haji Ghazali Sulaiman.
“InsyaAllah, ini adalah usaha untuk kita tawan penduduk disini, supaya berlaku pertambahan ahli PAS dari kalangan masyarakat disini, ” katanya.
Beliau mendedahkan hasrat sebenar PAS di peringkat cawangan adalah untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat gerakan, menjelang Pilihan Paya Umum ke-15.
“Sebab sebelum ini markas terlalu jauh dari tempat mengundi. Disini dekat, dan juga mempunyai kawasan lapang dan gelanggang takraw,
“untuk kita jadikan tempat untuk buat program ceramah dan pelbagai aktiviti serta kegiatan PAS,” jelas beliau lagi.




























