

KUALA TERENGGANU – PAS yakin mampu menyapu bersih kelima-lima kerusi di Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13, termasuk kerusi yang kalah kepada Barisan Nasional iaitu Dun Bandar.
Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, bukan itu sahaja, pihaknya yakin akan berlaku pertambahan undi kepada Pas berdasarkan ‘mood’ semasa rakyat di negeri ini dan negara amnya.
Beliau berkata, ‘mood’ rakyat yang cenderung kepada pembangkang dilihat masih berterusan sehingga kini.
“Kita yakin menang kelima-lima kerusi termasuklah Bandar, di samping berlaku pertambahan undi terhadap Pas,” katanya.
Selain kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Pas turut memenangi tiga kerusi Dun iaitu Ladang, Batu Burok dan Wakaf Mempelam, manakala tewas di kerusi Dun Bandar pada pilihan raya umum lalu.
Tengku Hassan berkata, pihaknya akan turut memberi tumpuan dalam menjalankan gerak kerja untuk membantu pucuk pimpinan di peringkat negeri untuk mengambil alih Terengganu.
Jelasnya, slogan PAS Ganti Umno (PGU) akan direalisasikan biarpun apa sahaja tanggapan pihak lawan terhadap PAS.
Beliau yang juga Adun Ladang percaya, dalam keadaan sekarang, pengundi memperoleh maklumat dari pelbagai jenis media dan bukan tertumpu pada media arus perdana semata-mata.
“Rakyat mampu membuat penilaian dan berfikir bahawa kerajaan yang ada ketika ini tidak mampu untuk memerintah negara,” katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung Dun Ladang, pihaknya difahamkan bahawa ramai pemimpin BN mahu menjadi calon di kawasan itu.
Menurutnya, sikap pemimpin Umno itu menunjukkan adanya sikap tidak sehaluan sehingga ramai dalam kalangan pemimpin berminat menjadi calon.
“Ini juga menunjukkan bahawa adanya masalah dalaman yang membuatkan orang ramai muak dengan perebutan yang tidak mengambil kira pandangan rakyat,” katanya.-SH


























