Pelajar Mesir; kenyataan Ahmad bohong

821

KUALA TERENGGANU – Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Ustaz Mohd Nor Hamzah menganggap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berbohong berhubung kenyataan beliau bahawa penuntut di Mesir yang terpengaruh dengan pembangkang tidak minat untuk belajar.

Menurutnya, perkara itu boleh dinilai sendiri penuntut yang sedang melanjutkan pelajaran di Mesir turut didakwa sering ponteng kuliah oleh pimpinan Kerajaan Negeri itu.

Beliau berkata, apa yang dikatakan Ahmad itu seolah-olah menyalahkan pembangkang sedangkan tiada satu pun kelab tajaan PAS yang wujud di sana.

“Kerajaan boleh nilai sendiri dengan penubuhan Kelab BN di luar negara, sudah tentu mereka yang terlibat dengan kelab itu tidak akan memberi yang terbaik untuk pelajaran mereka.

“Parti PAS tidak pernah mewujudkan satu pun kelab di Mesir tetapi ada persatuan yang digerakkan sendiri oleh mahasiswa bersumberkan inspirasi dan kehendak semasa,” katanya keapda Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata demi-kian ketika diminta me-ngulas laporan berhubung Kerajaan Negeri yang memandang serius pengaruh disebarkan pembangkang menyebabkan ada penuntut tajaannya di negara Timur Tengah khususnya Mesir tidak minat belajar hingga menyebabkan mereka gagal dalam pelajaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ada laporan yang diterima mendapati terdapat penuntut ditaja Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu sering ponteng kuliah.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Nor menganggap Ahmad cuba menyekat kebeba-san penuntut untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat dan ilmu yang diperoleh sepanjang belajar di sana.

“Sepatutnya beri kebebasan kepada mahasiswa sudah menjadi hak kepada mereka untuk berfikir, mencari dan menggali maklumat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menganggap Ahmad cuba mengugut penuntut bagi menyekat mereka mencari maklumat dan menghayati ilmu selain memandang rendah terhadap penuntut di Mesir.

“Ini juga menunjukkan bahawa MB memandang rendah terhadap pemimpin yang lahir dari Universiti Al-Azhar di Mesir seperti bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya.