Catatan 1: Misi Liputan Dan Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi Lombok

1119

Oleh : Naraza Muda

Berbekalkan timbunan ubat untuk bekalan saya sendiri, kesan serangan jantung kecik sehari sebelum berlepas ke Lombok, perbincangan dengan sahabat NGO bencana Hilal Ahmar yang akan menanti kami di Bandar Udara Internasional Lombok diteruskan. Mereka akan menguruskan perjalanan kami seawal pagi esok Jumaat.

Perjalanan darat dijangka mengambil masa enam jam dengan keadaan muka bumi selepas gempa. Empat jam perjalanan sebelum ini. Kawasan bencana yang dicadangkan kepada kami di Pulau peranginan Gunung Rinjani, kawasan yang paling terkesan.

Dengan angka kematian terkini korban akibat bencana gempa bumi di Lombok, jumlah mangsa dikhuatiri terus meningkat sekurang-kurangnya 347 mangsa.

Menurut laporan sumber berita antarabangsa yang memetik agensi Antara, 1,447 mangsa dilaporkan mengalami kecederaan manakala 165,003 dipindahkan ke penempatan lebih selamat.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Sutopo Purwo Nugroho yang melaporkan perkembangan terkini menjangkakan angka korban akan terus meningkat.

Tugasan utama kami selain menyerahkan sumbangan yang diusahakan oleh Kumpulan Aktivis Media Independen KAMI, juga akan membawa laporan dari sana berdasarkan kemampuan yang ada. InshaAllah.

*** Naraza ialah Aktivis KAMI yang sedang bergerak menuju kawasan bencana Lombok