Oleh Suhaimi Taib
HULU TERENGGANU – Kerajaan Terengganu akan memastikan projek zon bebas cukai Pulau Bayas Tasik Kenyir siap sepenuhnya walaupun ia bermasalah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Haji Ariffin Deraman berkata, segala permasalahan akan dicari cara penyelesaian sebaik mungkin kerana projek telah siap hampir 74 peratus.
Katanya, Kerajaan Negeri akan mengambil manfaat dari wang royalti petroleum dan gas sebanyak RM1.6 bilion yang dijangka akan diterima pada bulan Oktober ini melalui Petronas untuk menampung keperluan kewangan untuk projek berkenaan.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Taklimat mengenai Zon Bebas Cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir di sini pada 15 Julai.
Sementara itu dalam ucapan beliau kepada rombongan ke Tasik Kenyir di sini beliau berkata projek berkenaan jika siap, akan menjana ekonomi rakyat dan kerajaan negeri.
Ini kerana barangan yang dijual di zon bebas cukai itu, lebih murah jika dibandingkan dengan barangan dijual di Langkawi.
“Sebagai contoh barangan berasaskan koko, jika dibeli di Tasik Kenyir lebih murah dibanding di Langkawi, ” jelasnya.
Menurut beliau di kawasan zon bebas cukai itu sudah sedia ada ‘booth’ jualan barangan seumpama itu yang harganya lebih murah walaupun projek di Pulau Bayas belum siap sepenuhnya.
Dengan kerjasama semua pihak, kawasan pelancongan di tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara itu akan menarik lebih ramai pengunjung terutama pelancong domestik.
“Pelancong luar negara lebih suka berkunjung ke pulau-pulau di perairan Terengganu manakala penduduk tempatan pula suka berkunjung ke Tasik Kenyir, ” ujarnya.











