KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu digesa segerakan penelitian dan pemutihan ke atas rumah-rumah mampu milik kerajaan negeri yang tidak diduduki tetapi pembahagian habis atas kertas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato Harun mencadangkan demikian ketika bangun mencelah dalam sesi pergulungan oleh Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengajian Tinggi, Dr. Alias Razak di hari terakhir sidang DUN penggal pertama pada rabu, 4 Julai.
Menurut Naib Ketua Pemuda PAS Terengganu itu, ini dapat mengatasi masalah lambakan senarai pemohon rumah mampu milik (RMM) kerajaan negeri.
“Seperti kata ADUN Rantau Abang, berlaku adanya rumah yang berjaya dipohon tidak diduduki oleh pemohon, sama ada disewa kepada orang lain atau dibiarkan kosong”, ujar beliau.
Justeru itu, Dr. Alias mengharapkan kerjasama setiap ADUN memaklumkan kepada portfolio beliau untuk diambil tindakan.
“Di kawasan masing-masing…jika ada kes-kes yang berlaku penyelewengan, boleh maklumkan kepada pihak perumahan dan kita boleh buat siasatan”, ujar beliau.




























