TPC ‘Platform’ Tuntut Royalti Minyak – Titah Sultan Mizan

9911

Oleh : Suhaimi Taib

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al- Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafibillah Shah bertitah agar Kerajaan Negeri itu dapat menggunakan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) sebagai’platform’ dalam menangani urusan berkait dengan royalti petroleum dan gas serta tuntutan hak Telaga Minyak Bertam.

Di samping itu titah baginda, ia juga perlu dijadikan pemangkin untuk menambah peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat dalam industeri minyak dan gas.

Sultan Mizan bertitah, penubuhan TPC pada bulan Mei 2017 bertujuan untuk memastikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai pengeluar minyak dan gas yang utama di Semenanjung Malaysia dapat dilindungi hak dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri.

Baginda bertitah demikian di Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 14 di DUN Terengganu di Wisma Darul Iman pagi tadi.

Sejak tahun 2000, Kerajaan Persekutuan telah menafikan hak Kerajaan Terengganu menerima Royalti Petroleum dan gas sebanyak lima peratus, selepas PAS memerintah negeri itu tahun 1999 hingga 2004.

Dalam tahun 2000 Kerajaan Terengganu hanya menerima separuh dari wang royalti berkenaan berjumlah kira-kira hampir RM500 juta.

Sebahagian lagi tidak diberikan kepada Kerajaan Negeri selepas Kerajaan Persekutuan menerima satu usul perwakilan UMNO Terengganu dalam Perhimpunan Agung parti itu tidak lama dahulu yang mendesak Kerajaan itu menarik balik royalti minyak dan gas untuk Negeri tersebut.

Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) kemudiannya menukar royalti tersebut yang dianggar berjumlah kira-kira RM1 Billion setahun kepada Wang Ihsan disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) selepas BN berjaya menawan semula Terengganu dalam Pilihanraya Umum pada 21 Mac 2004.

Baru-baru ini dalam satu mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya yang dihadiri Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan bahawa royalti tersebut akan dikembalikan semula kepada Kerajaan Terengganu.

Sebelum itu dalam satu kunjungan hormat antara rombongan Menteri Besar Terengganu kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Tun Dr. Mahathir turut berjanji untuk berbuat demikian.

Perkara ini dinyatakan oleh Dr. Ahmad Samsuri dalam beberapa sidang media di beberapa majlis di Kuala Terengganu dan Marang.