Tentera Rusia Tembak MH 17

1512

Para penyiasat antarabangsa yang menyiasat insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine tiga tahun lalu, mendedahkan buat pertama kali bahawa peluru berpandu yang digunakan merupakan milik briged ketenteraan Rusia.

Pasukan Penyiasat Bersama, terdiri daripada pihak berkuasa dari Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine berkata, peluru berpandu BUK-TELAR itu milik Briged antipesawat ke-53 yang berpangkalan di Kursk, Rusia.

“Briged ke-53 itu sebahagian daripada tentera bersenjata Rusia,” kata penyiasat Belanda, Wilbert Paulissen kepada wartawan sewaktu sidang media di Belanda.

Pesawat terbabit membawa 298 penumpang, kebanyakan warga Belanda ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di wilayah yang dikuasai pemisah pro-Rusia.

Sebelum ini, Rusia berulang kali menafikan sebarang penglibatan dalam insiden berkenaan.

Selain itu, para penyiasat meminta orang ramai untuk membantu siasatan mereka berhubung insiden itu.

Ketua penyiasat, Fred Wes­terbeke berkata siasatan itu kini dalam fasa terakhir tetapi ‘masih banyak lagi perlu dilakukan’.

Mereka akan memberikan maklumat terkini berkaitan hasil siasatan insiden tersebut tetapi tidak mendedahkan suspek.

“Sebelum ini, kami memperoleh banyak bukti tetapi belum bersedia untuk mengumumkannya,” kata Westerbeke ketika sidang media.

Pada September 2016, pendakwa raya Belanda menyatakan 100 orang berkepentingan telah dikenal pasti sebagai suspek, manakala pegawai dari Australia dan Malaysia berharap agar suspek didedahkan kepada umum pada 2017. –