

Menurutnya, kedua-dua situasi tersebut berbeza kerana perhimpunan Bersih 2.0 melalui 60 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan satu perhimpunan aman untuk menuntut lapan perkara pada pilihan raya akan datang.
Beliau sebaliknya menegaskan, rusuhan yang berlaku di Britain adalah satu rusuhan ganas yang jelas mendatangkan keadaan huru-hara sehingga menyebabkan kecederaan kepada orang awam, polis, kecurian dan kemusnahan bangunan.
[Gambar – Dr Azman dua dari kanan, ketika mengiringin kunjungan Pesuruhjaya PAS ke Setiu semalam 16 Ogos]
“Rusuhan dan perhimpunan aman sama sekali tidak boleh disamakan kerana ia dua perkara berbeza kecuali perhimpunan aman itu menyebabkan berlakunya kerosakan besar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Setiu, bagaimanapun mendakwa, pihak keselamatan tidak berjaya membuktikan sebarang kerosakan seperti kereta terbakar, kehadiran senjata atau kecederaan yang berlaku kepada polis dalam perhimpunan 9 Julai lalu.
Menurutnya, perkara yang sama pernah berlaku ketika Bersih menganjurkan perhimpunan kali pertama pada 2007 tanpa menimbulkan sebarang perkara yang membawa kepada kerosakan dan kecederaan.
Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Terengganu turut memuji Britain kerana memberi peluang kepada penganjuran perhimpunan aman.
“Semasa kita mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur, saya dihubungi kenalan di London yang turut mengadakan perhimpunan tersebut dihadiri kira-kira 1,000 orang dan polis yang berkawal sekitar dua orang sahaja.
“Anggota keselamatan itu turut bertanya kepada penganjur ada atau tidak peserta lain yang akan hadir selepas ini kerana jika bilangannya lebih besar daripada itu, mereka mahu meluaskan kawasan perhimpunan,” katanya.
Beliau turut mengharapkan kerajaan boleh memberi peluang yang sama kepada penganjur untuk melakukan perhimpu-nan secara aman dalam usaha memberi kebebasan bersuara kepada rakyat kerana ia mampu membantu kerajaan dalam menggerakkan sistem dengan lebih adil di negara ini.



























