MTD Chukai edar risalah Pas

860

KEMAMAN – Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai mengambil inisiatif mengedar risalah perjuangan Pas dari rumah ke rumah bagi mendekati pengundi muda.

Pengarahnya, Hanafiah Mat berkata, usaha itu dilakukan bertujuan menyampai dan menjelaskan mengenai isu semasa termasuk isu kenaikan harga minyak dan tarif elektrik yang membebankan rakyat ketika ini.

“Sebelum ini Dewan Muslimat Pas di kawasan ini turut menziarah dari rumah ke rumah bagi mendekati masyarakat sekali gus membantu mereka yang memerlukan. Sekarang kita dekati pemuda dan pemudi pula agar perjuangan kita difahami dengan jelas oleh generasi muda.

“Ini juga sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang. Kita harapkan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada pengundi muda kerana inilah waktu untuk berubah,” katanya kepada Sinar Harian sempena program Operasi Al-Falah Peti Undi Geliga.

Lebih menarik, program itu pada sebelah malamnya turut diadakan ceramah Gempur Pemuda yang turut menampilkan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan dan Ketua Penerangan Pemuda Pusat, Riduan Mohd Noor.

Seramai 300 pemuda dari Kuala Kemaman dan Paya Berenjut mengedarkan risalah perjuangan Pas sekitar Geliga hingga Kuala Kemaman dan kira-kira 1,000 buah rumah diziarahi pada program itu.

Hanafiah berkata, sempena Operasi Al-Falah, seramai 65 warga emas, fakir emas dan pimpinan masyarakat atau al-Malaq menerima bantuan berupa barangan keperluan dapur dan juga wang tunai.

Menurutnya, bantuan berkenaan disalurkan kepada mereka yang kurang berkemampuan tanpa mengira fahaman politik.- SH