

KUALA TERENGGANU – Seorang mahasiswa yang kini menuntut di salah sebuah universiti di Nilai, Negeri Sembilan ditahan polis malam kelmarin kerana dipercayai terlibat cuba mengedarkan baju T berhubung penganjuran perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai depan.
Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Datuk Jamshah Mustafa berkata, suspek yang berumur 22 tahun dan berasal dari Kampung Kuala Ibai itu ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta di bahu jalan, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang iaitu berhadapan sebuah pasar raya kira-kira jam 11 malam.
“Sebenarnya, gerak geri suspek sememangnya sedang dipantau polis sebelum ini memandangkan dia dikesan bergiat terlalu aktif dalam kempen perhimpunan Bersih itu melalui laman sosial Facebook miliknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut Jamshah, hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, pihaknya menemui 26 helai baju T pelbagai saiz yang dipercayai ada hubung kait dengan perhimpunan Bersih 2.0 itu.
“Seterusnya, pemeriksaan di rumah suspek turut menjumpai 70 helai lagi baju T sama, pelbagai saiz,” katanya.
Jamshah berkata, suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1969 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, suspek dibebaskan semalam selepas keterangannya diambil-Sinar Harian



























