Jadikan masjid ‘zon bebas’ berdakwah

749

MARANG –  Kerajaan sepatutnya menjadikan masjid sebagai zon bebas berdakwah dengan membuka ruang kepada semua ustaz dan para ulamak untuk berdakwah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu berkata, dengan itu InsyaAllah, masjid-masjid akan sentiasa dipenuhi oleh golongan yang mencari-cari kebenaran ilmu.

Menurutnya, ia juga akan melahirkan masyarakat dan orang ramai yang lebih kritis serta peka dengan sesuatu isu agama yang baru.

“Kepentingan menjadikan zon bebas berdakwah itu juga akan membantu percambahan fikiran masyarakat agar dapat membandingkan sesuatu perkara dengan bebas tanpa pemikiran mereka condong kepada sebelah pihak sahaja,”ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada Umno yang ketika ini masih tercari-cari formula untuk mengimarahkan masjid-masjid di Terengganu.

Laporan sebuah akhbar tempatan pada Rabu 29 Jun menyatakan, seorang pemimpin Umno kononnya tidak puas hati dengan jumlah kehadiran jemaah ke masjid-masjid kerajaan.

Menurut Ustaz Mohd Nor yang juga ADUN Bukit Payung,  Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Nasir Ibrahim Fikri sewenang-wenangnya melabelkan rakyat sebagai tidak bersyukur dengan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan kepada masjid-masjid itu.

Nasir menyarankan agar masjid dijadikan sebagai pusat ilmu dan kegiatan kemasyarakatan agar ianya menjadi tempat berhimpunnya masyarakat setempat .

Namun sebaliknya, menurut  Ustaz Mohd Nor, cadangan menjadikan masjid sebagai pusat ilmu itu tidak akan berkesan sekiranya pentadbiran dibelenggu pemikiran kolot pemimpin Umno.

“cadangan menjadikan masjid sebagai pusat ilmu itu tidak akan berkesan dan berjaya, selagi pentadbiran masjid-masjid tersebut masih diselubungi oleh pemikiran kolot dan jumud,

“pemimpin Umno mendakwa bahawa semua masjid-masjid kerajaan adalah milik Umno,”jelasnya.

Beliau menegaskan, masjid-masjid perlu dibebaskan terlebih dahulu masjid dari himpitan ideologi Umno yang menganggap masjid-masjid itu milik mutlak Umno.

Katanya, kejayaan PAS mentarbiyah dan mendidik ahli-ahli serta penyokongnya seharusnya menjadi panduan kepada Umno.

“PAS berjaya mendidik ahli-ahli mencintai masjid dan menuntut ilmu, pemimpin dan ahli Umno harus menjadikan PAS sebagai panduan, sekiranya mahu melihat masjid-masjid dimakmur dan diiimarahkan,”tambahnya.