KUALA NERUS – Penduduk sekitar jalan utama Batu Rakit- Merang merasa hampa apabila pihak berkuasa tidak mengendahkan aduan mereka.
Yang DiPertua PAS Kawasan Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, masalah pokok besar yang membahayakan penduduk dan pengguna jalan raya telah diadukan pada pihak berwajib.
Namun begitu, kata beliau, jawapan yang diterima adalah mereka perlu memotong dahan-dahan dan menebang pokok itu perlu mengeluarkan kos sendiri.
“Kejadian dahan pokok besar yang jatuh dan mengorbankan dua nyawa pada Sabtu 7 Oktober yang lalu di jalan utama Batu Rakit-Merang berulang lagi sehari selepas itu telah menimbulkan rasa bimbang di kalangan penduduk sekitar,


“Kira-kira pukul 4 petang pada hari Ahad di kedai makan Puan Asmah Sulong, 64, di Kampung Pengkalan Atap kira-kira kurang 500 meter dari tempat kemalangan tragis itu, satu kejadian yang mana satu dahan pokok besar yang rekah telah jatuh menembusi kedai makannya,
“Dengan tiba-tiba dahan pokok jatuh dan tembus dari atap kedai namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana premis itu masih belum di buka dan ini adalah kali kedua kedainya mengalami masalah yang sama berpunca dari dahan pokok besar yang rekah,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Asas Tani Dan Alam Sekitar (LATAS) Terengganu berkata demikian ketika diminta mengulas isu dahan pokok yang patah pada hari Sabtu, 7 Oktober sehingga mengorbankan nyawa dua orang pengguna jalan raya.


“Ini adalah kali kedua berlaku dan sebelum ini lagi teruk kerana salah seorang pelanggan patah hidung akibat dari dahan yang jatuh menembusi atap kedai. Beliau mendakwa tiada sebarang bantuan dari pihak berwajib mahupun wakil rakyat yang hadir menghulurkan bantuan,”ujarnya kesal.
Sehubungan itu, seorang lagi penduduk, Hashim Abdullah turut melahirkan pandangan yang sama.
“Pokok-pokok tepi jalan ini dah tua… seingat saya ditanam ketika pembukaan Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) sekitar tahun 1976,”kata Hashim.





























