Oleh : Azizah Mahmood
KUALA TERENGGANU – PAS Kuala Terengganu meneruskan agenda mendekati rakyat dengan mengedarkan buah tangan ‘Bubur Asyura’ kepada masyarakat setempat dan beberapa pejabat kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, YB Haji Abdul Wahid Endut berkata, ia adalah rutin tahunan pada setiap tahun, menyambut kedatangan bulam Muharram.
Katanya, Lajnah NGO, Jabatan Kerajaan dan Swasta (JKS) bersama Skuad Khidmat Dun Wakaf Mempelam dengan kerjasama Persatuan Peniaga Pasar Borong Gong Pauh telah memasak dan mengedarkan bubur itu.
Beliau berkata, program tersebut sangat bagus kerana ia dapat merapatkan ‘tali silaturrahim’ antara PAS dan orang ramai.
“Walaupun cara pembuatannya agar rumit dan memerlukan sekurangnya lima jam untuk memasaknya namun ianya berbaloi dengan hasil yang kita dapat,
“Sekarang ni ramai yang tidak mampu membuatnya memandangkan kos bagi satu kawah boleh mencecah RM 500 dan kebanyakkan ‘orang lama’ yang biasa buat pun dah uzur,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sedang mengacau Bubur Assyura di Pasar Borang Gong Pauh, 3 Oktober, disini.
Menurutnya, Bubur Assyura itu selain diagihkan di Pasar Borong Gong Pauh, ia turut akan dihantar ke jabatan kerajaan di UTC termasuklah di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPD) Kuala Terengganu.
“Tahniah saya ucapkan kepada Skuad Khidmat Muslimat Dun Wakaf Mempelam dan KT Care yang menghidupkan tradisi ini,
“Saya difahamkan seramai 26 orang petugas terlibat termasuklah dari kalangan Persatuan Peniaga Pasar Borong Gong Pauh bekerjasama menyiapkan dua periuk Bubur Assyura ini,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Ketua Persatuan Peniaga Pasar Borong Gong Pauh, M. Shamsul Hadi Saigal, 37 tahun berkata, kerjasama persatuan dengan masyarakat dan juga NGO-NGO lain sangat penting dalam menjalin hubungan apatah lagi membabitkan program sebegini.
“Terima kasih pada Skuad Khidmat Dun Wakaf Mempelam yang selalu mengatur program di pasar borong terutamanya program rawatan kesihatan percuma setiap bulan,
“Alhamdulillah, program ni cukup baik dan kerjasama diantara Persatuan Peniaga Pasar Borong Gong Pauh dengan PAS Dun Wakaf Mempelam serta NGO KT Care yang mewakili PAS Kawasan Kuala Terengganu akan terjalin erat hendaknya,” kata Shamsul.
Katanya, program sentuhan Muharram yang bermula jam tujuh pagi hingga satu tengahari itu turut disertai pengunjung pasar menjadikannya cukup meriah.












