Muslimat Muda Penentu Kemenangan

1802

Oleh : Afini Yahaya

MARANG – Muslimat muda dilihat sebagai faktor penyumbang terbesar yang akan menentukan kemenangan dalam PRU14 yang bakal menjelang bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, Haji Yahaya Ali berkata, menurut data Daftar Pemilih Induk 2016, seramai 5,313 wanita berumur dalam lingkungan 21 hingga 25 tahun ialah pengundi kali pertama yang akan mengundi dalam kawasan Marang.

“1,392 pengundi ialah dari Dun Alur Limbat, 1,134 pengundi ialah dari Dun Bukit Payung, 1,326 pengundi ialah dari Dun Ru Rendang dan 1,461 pengundi ialah dari Dun Pengkalan Berangan,” jelas beliau.

Beliau yang ditemui ketika merasmikan Himpunan Muslimat Muda (Hamra) Marang mengulas lanjut, kerja-kerja mencari dan membina ‘engagement’ perlu dirancakkan.

“Pelbagai pendekatan boleh dibuat samada melalui ziarah rumah ke rumah, membina hubungan dengan masyarakat dalam ruang riadah dan rekreasi di tempat awam dan hubungan ‘personal touch’ dengan sasaran,” tambah beliau.

Hamra Marang berlangsung meriah pada Sabtu, 16 September di Madrasah Darul Iman, Bukit Payung dengan kehadiran hampir 500 orang peserta. Turut hadir ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, Hajah Zarani Othman dan Pengarah Ameerah Negeri Terengganu, Zuraida Mohd Nor.

Haji Yahaya Ali yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Terengganu juga menyeru muslimat muda mestilah ada suatu niat yang suci untuk memberikan saham dalam perjuangan ini samada dalam keadaan ringan atau berat.

“Kena bersungguh dengan niat yang ada, melakukan yang terbaik dengan mengenalpasti sasaran dan strategi yang sesuai,” katanya.

Tambah beliau lagi, PAS tidak mahu ke Putrajaya tanpa membawa Islam sebagai dasar perjuangan parti.