MELAKA – Masalah banjir kilat dan sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik menjadi antara isu utama yang diberi perhatian calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, isu berkenaan dikenal pasti hasil tinjauan dan ziarah penduduk yang dilakukan sepanjang tempoh berkempen di kawasan tersebut.
Menurutnya, masalah itu antara perkara yang akan diusahakan untuk diselesaikan secepat mungkin dengan kerjasama agensi kerajaan sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat.
“Saya melihat sekiranya diberikan ruang dan peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat DUN Bukit Katil, ada beberapa isu yang ditemui sepanjang kami menziarahi penduduk.
“Antaranya termasuk isu banjir kilat, penyelenggaraan longkang dan sebagainya. Saya kira itu antara perkara yang dapat saya segerakan sekiranya diberikan mandat dan kepercayaan,” jelasnya dalam laman sosial rasminya semalam.

Ridzuan yang mempunyai pengalaman dalam sektor awam berkata, pengalamannya berurusan secara langsung dengan pelbagai agensi kerajaan diyakini dapat membantu memudahkan usaha menyelesaikan permasalahan penduduk.
Mengulas mengenai perancangan 100 hari pertama sekiranya menang, beliau berkata, pihaknya akan berusaha melaksanakan segala perkara yang terkandung dalam manifesto yang diumumkan.
“Manifesto yang akan diisytiharkan pada hari ini pukul 4.30 petang, semua manifesto itu kita akan usahakan untuk diselesaikan dalam tempoh 100 hari pertama.
“Pada masa sama, kita akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan penduduk,” ujarnya.










