Oleh : Khairul Nizam Abdullah
KUALA NERUS – PAS Seberang Takir telah bersedia sepenuhnya samada dari segi ‘tentera’ dan peralatannya bagi menyambut kehadiran 200 ribu peserta Fastaqim 2.0 yang akan berlangsung pada 29 dan 30 September 2017.
Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Ustaz Haji Zakaria Dagang berkata, sebagai tuan rumah, sudah pasti akan mengerahkan seluruh ahli dan penyokong untuk mendokong dan menjayakan program tersebut.
“Para petugas kami dan warga PAS Dun Seberang Takir sudah bersedia untuk menerima kedatangan para tetamu dan peserta ke program ini,


“Kita telah menggerakkan para petugas kita untuk membantu kerja-kerja persiapan tapak program. Setakat ini, Alhamdulillah, usaha ini disambut baik dan penuh bersemangat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan PAS Seberang Takir yang diberi kepercayaan mengurus dan menjayakan program Fastaqim 2.0 yang akan diadakan di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus pada 29 dan 30 September 2017, disini.
Menurutnya, pada kali ini Terengganu telah diberi amanah sebagai tuan rumah selepas Kelantan mengadakan Fastaqim 1.0 di Kota Baharu dua tahun yang lalu.
“Bagi pihak Majlis Tindakan Dun Seberang Takir, saya menyambut program ini dengan tangan yang terbuka dan penuh bangga kerana memilih sebuah lokasi dalam Dun ini sebagai tapak program,
“Terima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang memberi amanah dan kepercayaan kepada kami sebagai tuan rumah,” kata beliau.
Justeru, kami meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada semua ahli dan penyokong PAS di seluruh negara untuk datang menjayakan program yang sangat berprestij ini.
“Kami berazam untuk memberikan sesuatu yang terbaik untuk kepuasan dan keselesaan para peserta, insya Allah,” tegasnya.



























