Tiada Kejayaan Tanpa Pengorbanan

2868

Oleh : Rohayati Ripin

DUNGUN – Wanita muda diseru untuk menghayati erti pengorbanan dan kemerdekaan dalam kehidupan kerana tidak ada kejayaan tanpa pengorbanan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Dungun, Khairiah Mokti berkata, kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini adalah hasil pengorbanan para pejuang terdahulu seperti Tok Janggut, Tok Bahaman, Abdul Rahman Limbong dan ramai lagi.

“Mereka sanggup berkorban harta dan nyawa untuk membebaskan negara dari penjajah yang silih berganti bermula dari British, Jepun dan Komunis,

“Mereka menentang habis-habisan dan hasil pengorbanan itulah kita mampu menikmati apa yang ada hari ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang program Himpunan Muslimat Muda (HAMRA) yang akan diadakan di Dungun, pada Jumaat, 8 September di Kampung Pulau Serai, Dungun selepas HAMRA Kuala Terengganu dan Kemaman.

Kata beliau, program HAMRA diadakan untuk melahirkan generasi wanita muda yang cakna dan peduli tentang hal semasa yang berlaku dalam negara. Ianya satu program bermanafaat dan berinformasi serta tidak melalaikan .

“Saya berharap agar program ini dapat menghimpunkan seramai mungkin wanita muda untuk menjadi medan perkongsian ilmu,

“Ayuh wanita muda seluruh Dungun, bangkit dan sertailah diri dalam program HAMRA yang akan diadakan pada 8 September 2017 ini kerana banyak pengisian yang bermanafaat sesuai dengan wanita muda,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, Ketua Ameerah Kawasan Dungun, Aina Mardhiah Abdullah menyeru kepada muslimat muda agar bangkit bersama ke HAMRA.

“Ameerah merupakan sebahagian daripada pembantu agama Allah dan agen perubahan dalam pilihan raya umum (PRU) ke – 14,

“Sebagai tanda kebersamaan dan sokongan wanita muda, saya menyeru kepada semua wanita muda untuk hadir seramai mungkin bagi melahirkan generasi yang celik politik dan meningkatkan kefahaman dalam merungkai cabaran yang dihadapi para wanita masa kini,” seru Aina.

Katanya lagi, kepada semua wanita yang mendokong dan penyokong perjuangan Islam di muka bumi Malaysia ini khususnya di daerah Dungun ini untuk hadir dan bersama memeriahkan program HAMRA peringkat daerah Dungun. Pelbagai aktiviti dan program bermanfaat disediakan. Semoga kehadiran kalian menambahkan keberkatan di majlis yang baik ini.

Ameerah Terengganu sebelum ini telah telah menganjurkan HAMRA di Kuala Terengganu dan Kemaman.