Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – Sambutan Hari Raya Aidiladha bukanlah semata-mata kerana ibadat haji bahkan juga bersempena memperingati sunnah Nabi Ibrahim AS, yang disambung perjuangannya oleh Nabi Muhammad SAW.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kehebatan baginda ialah kerana berakidah, bersyariat, dan berakhlak dengan Islam.
“Islam dengan makna menyerah diri kepada Allah SWT Kita menyaksikan bagaimana kehebatan Islam baginda apabila diperintah oleh Allah membuka bumi Makkah yang kering kontang tidak ada air dan kemudahan asas,
“Meletakkan puteranya Ismail di situ dan mendirikan Kaabah yang menjadi kiblat untuk seluruh manusia sehingga akhir zaman,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena hari raya Aidil Adha yang akan disambut pada Jumaat, 1 September oleh umat Islam di Malaysia.
Menurutnya, baginda menunaikan kewajiban itu bagi menyatakan Islam adalah menyerah diri yang sebenar kepada Allah.
“Kita menyaksikan bagaimana bumi yang kering kontang itu dikunjungi oleh manusia dari seluruh pelosok dunia dengan menghidupkan ibadat haji dan umrah sehingga ke hari ini,
“Mereka melakukan ibadah Qurban yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim sejak ribuan tahun lamanya dan selepasnya Nabi Muhammad dilantik menjadi rasul terakhir kepada seluruh manusia,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, tidak tergambar dalam hati manusia bagaimana, di situ bermulanya dakwah bagi dengan keyakinan kepada Islam yang mengabdikan kepada Allah.
Bahkan kata beliau, nabi Muhammad telah berjaya membangun manusia generasi awal umat Islam dengan akidah, keimanan dan menyerah diri kepada Islam menghadapi dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom yang kuat dan kaya raya.
“Sehingga berakhir dengan kewafatan Nabi Muhammad, meninggalkan ajaran hidup baginda dan disambung oleh Khulafa’ ar-Rasyidin yang menyaksikan kejatuhan kuasa besar dunia Parsi dan Rom,
“Orang Islam generasi awal yang datang dengan ‘kosong’ berjaya menguasai Parsi dan Rom, membina tamadun baru Islam, memanfaatkan segala kemajuan kebendaan yang positif, menghapuskan segala yang negatif dengan Islam sehingga berjaya memimpin dunia selama 13 abad dan memerintah negara yang besar bermasyarakat majmuk,” tegasnya.
Sebaliknya, umat Islam lemah masa kini setelah meninggalkan ajaran Islam dan diasak serangan musuh yang bertubi-tubi.
Bukan sahaja negara umat Islam dimamah dan diratah dengan ketenteraan musuh bahkan diserang melalui media yang menguar-uarkan Islamofobia.
Mereka, kata beliau, menyebarkan berita seolah-olah semua keganasan daripada ajaran Islam, padahal ia dilakukan oleh orang Islam yang jahil dan bebal.
“Marilah kita yakin dan percaya bahawa ajaran Islam adalah murni dan bersih dengan konsep menyerah diri kepada ajaran Islam dengan ikhlas. Kita percaya Islam akan kembali mentadbir dunia sekali lagi,
“Kalau dahulu boleh menjatuhkan kuasa besar dunia dan membetulkan kehidupan dunia, kali ini kebangkitan Islam akan dapat mengambil alih memimpin dunia sekali lagi, insyaAllah,” tegasnya.
Justeru beliau menyeru seluruh umat, agar menyambut Hari Raya Aidiladha dengan semangat Islam yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan disambung oleh nabi akhir zaman, Muhammad menyebarluaskan Islam ke seluruh pelosok dunia.
Beliau turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam walau di mana jua berada.
“Mudah-mudahan Allah memberkati kita semua,” tambah beliau





























