Oleh : Khairul Nizam Abdullah
KUALA NERUS – PAS persoalkan, kemanakah dibelanjakan sebanyak satu juta ringgit peruntukan wang rakyat yang diberi oleh kerajaan bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Terengganu?
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak berkata, wang tersebut tidak diberi kepada wakil rakyat pembangkang tetapi sebaliknya disalurkan terus kepada Pegawai Pembangunan DUN Umno.
Sedangkan kata beliau, ADUN PAS telah dipilih oleh rakyat secara demokrasi, melalui pilihan raya.
“Ini yang jadi masalahnya…….sekiranya kita dapat (peruntukan) sepertimana yang diberikan kepada wakil rakyat kerajaan, secara langsung sejuta ringgit satu DUN, insya Allah banyak perkara yang boleh kita bantu rakyat,
“tapi malangnya di DUN Bukit Tunggal ni, duit peruntukan tersebut disalurkan kepada Pegawai Pembangunan DUN, kita sebagai wakil rakyat pembangkang dinafikan sebarang peruntukan (itu). hanya diberi kepada wakil rakyat kerajaan BN.,
“Kita tak tahu apa benda yang mereka buat sebenarnya dengan duit yang diagihkan tu?,” soal beliau
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi beberapa buah rumah penduduk miskin di Kampung Pulau Ketam, di sini pada Isnin 21 Ogos.
Menurutnya, apa yang dapat dilihat hanyalah, pembinaan wakaf-wakaf dan bangsal-bangsal tidak banyak membantu kesusahan rakyat.
Sehubungan itu, Dr Alias yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Terengganu berkata, beliau mengadakan program rutin meninjau rumah-rumah yang mempunyai masalah.
Katanya, program itu diadakan dua kali seminggu secara berjadual, dan memberikan bantuan kepada mereka yang betul-betul memerlukan.
“Program bermula pagi yang mana kita ada ‘sembang kedai kopi’ bersama penduduk setempat dan kita bertanya apa masalah atau pun menerima aduan dari rakyat,
“(untuk) kita akan mengambil tindakan……. mana yang boleh kita bantu segera, manakala yang patut kita bawa ke peringkat atasan atau bawa ke jabatan-jabatan kerajaan, kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” jelas beliau.
Kata beliau, lawatan rumah ke rumah dibuat terutamanya keatas orang miskin, warga emas, orang dan yang sakit
“Kita pergi dari satu kampung ke satu kampung yang lain bergilir-gilir, sebenarnya dah berkali-kali kita buat lawatan ziarah ni di kampung yang sama…..dan dari apa yang dapat kita perhatikan pada hari ini, rakyat sebenarnya (tertekan) …. banyak kita terima (aduan rakyat) berkaitan kos sara hidup (tinggi),
“mana-mana orang (pun yang) miskin baik, (atau) orang sakit dan orang kedai kopi pun, aduan utama (mereka) adalah masalah harga barang yang terlalu tinggi,
“khususnya keperluan harian seperti harga ikan dan ayam yang terlalu mahal termasuklah keperluan barangan dapur yang lain,” ujarnya.
Bahkan kata beliau, sebahagiannya merasakan dengan pendapatan yang biasa mereka terima, tidak padan untuk menyara kehidupan, sedangkan dahulunya ia cukup.
“Sudah tentu ini memberi tekanan kepada mereka dalam meneruskan kehidupan (dan) kami di DUN Bukit Tunggal ada program untuk keluarga yang benar-benar susah….kita akan beri bantuan tetap secara bulanan kepada mereka,
“Kita ni jenis tak suka nak heboh-heboh……kita ada dibawah Lajnah Kebajikan DUN Bukit Tunggal, setiap bulan kita hantar bantuan barangan keperluan dia untuk membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung,” ujarnya lagi.
Sekurang-kurangnya, kata beliau, keperluan asas mereka mencukupi dalam tempoh sebulan di dan PAS sebagai pembangkang dapat membantu termampu.
Oleh Sebab itu katanya, PAS berjanji dalam manifestonya akan bantu meringankan beban hidup untuk orang-orang susah terbabit.
“Golongan yang kita panggil ‘GBR’ (golongan berpendapatan rendah) ini (adlah) fokus kita termasuk beri air percuma, bantuan rumah dan sebagainya,
“Justeru, kita mengharapkan semoga rakyat mempunyai kesedaran inilah masalah yang kita hadapi……PRU yang akan datang ni boleh buat pertukaranlah supaya PAS pula memerintah. Kita boleh beri satu kecaknaan yang lebih kepada masyarakat,” tegas beliau.












