Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – PAS menggesa pihak Majlis Petroleum Terengganu (TPC) agar mengutamakan penuntutan kembali royalti minyak negeri Terengganu serta mengembalikan hak kawasan minyak di Blok PM 307 BERTAM.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, TPC tak boleh diwujudkan semata- mata untuk menjadi hiasan ataupun khabar indah kepada rakyat Terengganu.
“Misi yang paling utama yang perlu disegerakan adalah menuntut kembali royalti minyak dan yang kedua adalah menuntut kembali hak telaga minyak BERTAM PM 307,
“Jadi itu sebenarnya perkara yang saya ingin bawa dalam dewan supaya berlaku penangguhan kerana ini kepentingan dan kita tidak berhasrat TPC ditubuhkan hanya untuk megelabui mata rakyat dalam masa yang sama tidak dibuat desakan untuk mengembalikan semua hak milik rakyat Terengganu,” ujarnya.


Beliau menzahirkan rasa kecewa atas alasan yang dikemukakan oleh pihak Speaker Dewan yang memberi ruang kepada Adun Batu Rakit, YB Bazlan.
“Saya yang terlebih dahulu bangun dan sistem dalam dewan ini kita boleh kenal pasti dengan menekan butang untuk kita bercakap dan dia akan terus naik skrin,
“Namun malangnya saya dinafikan hak untuk membawa usul ini dan ini merupakan satu sikap yang tidak serius oleh pihak kerajaan untuk melihat apa yang dibawa oleh pihak pembangkang dalam membawa ‘check and balance’ untuk sebuah kerajaan,” katanya kesal.


























